Buruh rugi RM5,000 ditipu beli kereta tidak wujud

Polis akan menyiasat kes buruh kerugian RM5,000 selepas ditipu scammer di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis akan menyiasat kes buruh kerugian RM5,000 selepas ditipu scammer di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang buruh kerugian RM5,000 selepas ditipu seorang rakan yang baru dikenali oleh abangnya dalam urusan penjualan kereta tidak wujud 1 Mac lalu.

Lelaki berusia 27 tahun yang menetap di Triang, Bera, dikatakan berminat membeli kereta Satria selepas dimaklumkan abangnya mengenai kereta itu yang diiklankan wanita dikenali sebagai Rosnani melalui Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi nombor tertera dan berbincang dengan wanita terbabit sebelum bersetuju membayar sebanyak RM10,500.

"Mangsa seterusnya membuat pembayaran sebanyak RM3,000 sebagai deposit pada 2 Mac lalu.

"Pada keesokan harinya, mangsa membuat satu lagi transaksi sebanyak RM2,000 ke dalam akaun sama diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir memaklumkan, pada Jumaat lalu, mangsa bersama abang iparnya pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Senawang, Negeri sembilan untuk pertukaran hak milik kenderaan tersebut.

Katanya, bagaimanapun mangsa mendapati suspek tiada di lokasi terbabit dan mendakwa pemilik kenderaan itu mempunyai urusan lain di Johor.

"Mangsa kemudian meminta suspek mengembalikan semula wang RM5,000 yang diberikan namun suspek enggan berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera selepas berasa diri telah ditipu," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.