'Kor Ming jangan salah guna kedudukan Timbalan Speaker'

Tan Sri Noh Omar - Foto Bernama
Tan Sri Noh Omar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming diingatkan agar menjaga kedudukannya itu dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, adalah tidak adil apabila Kor Ming membuat kenyataan 'panas' di luar dewan tetapi tidak dapat ditegur ketika sesi Dewan Rakyat.

"Apabila sudah terlepas cakap di luar, beliau nak guna imuniti di dewan. Ini tidak adil.

ARTIKEL BERKAITAN: Noh Omar dilarang masuk Dewan Rakyat 3 hari

"Speaker ini kedudukan paling tinggi dalam Dewan Rakyat, beliau kenalah jaga imej sebagai orang yang dihormati. Jangan nak gunakan kedudukan sebagai Timbalan Speaker untuk cakap isu kontroversi di luar," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Kor Ming memutuskan Noh dilarang memasuki Dewan Rakyat bagi menyertai sesi perbahasan selama tiga hari.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Noh kelmarin di Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan apabila melemparkan tuduhan terhadap Kor Ming bahawa tidak layak menjawat jawatan berkenaan.

Isnin lalu, Noh ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja, meminta penjelasan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkenaan kenyataannya mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas dengan Taliban.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noh berkata, mana-mana kenyataan daripada individu boleh dibahaskan di Parlimen jika ia menimbulkan isu.

"Bila dah timbul kontroversi dan jadi isu dalam masyarakat, takkan kita tak boleh tanya beliau di Parlimen?," soalnya.

Menurut Noh, beliau juga bersedia berdebat dengan Kor Ming berkaitan isu tersebut di luar dewan.

"Kor Ming telah mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk berdebat di luar. Walaupun cabaran ditujukan kepada Tajuddin, tetapi saya sendiri sedia sahut," katanya.