Crystal Palace bukan lawan mudah di Selhurst Park

Pep Guardiola - Foto AFP
Pep Guardiola - Foto AFP
A
A
A

CIRI-ciri fizikal para pemain dan kualiti penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha menjadi cabaran getir buat Manchester City apabila penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkunjung ke Selhurst Park awal pagi pada Isnin, menurut pengendali The Citizens, Pep Guardiola.

“Melihat kepada larian, fizikal, pergerakan berpasukan dan kualiti di hadapan terutamanya dengan Zaha. Apabila mereka bertahan, mereka sangat sukar untuk dibolosi pemain lawan.

“Selhurst Park sentiasa menjadi tempat yang sukar untuk dilawati setiap pasukan termasuklah Manchester City. Ia seperti perlawanan akhir bagi kami,” kata Guardiola.

Untuk rekod, Palace yang menewaskan Manchester City 2-0 di tempat lawan pada Oktober lalu dengan gol daripada Zaha dan Conor Gallagher, tewas satu daripada lapan perlawanan terakhir semua pertandingan.

Malah Guardiola turut memuji bos Palace, Patrick Vieira, yang mengetuai Arsenal untuk memenangi tiga kejuaraan liga dan empat Piala FA sebagai pemain.

“Patrick mengenali Liga Perdana Inggeris dengan sempurna, dia adalah antara pemain terbaik sepanjang zaman dalam liga ini.

“Dia tahu stadium, media, dan bau persaingan dalam Liga Perdana Inggeris, yang merupakan satu kelebihan. Secara peribadi, saya gembira semuanya berjalan lancar untuknya,” kata Guardiola.

Manchester City berada di puncak liga dengan 69 mata daripada 28 perlawanan, enam mata di hadapan Liverpool, namun bermain lebih satu perlawanan, dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, selepas menewaskan Sporting pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Guardiola menepis bahawa pasukannya boleh memenangi ketiga-tiga pertandingan untuk meraih treble musim ini, sebaliknya menegaskan bahawa City mengambilnya satu perlawanan pada satu masa.

“Tidak, saya tidak fikirkan tentang treble. Inilah realitinya, anda harus faham tahap itu begitu kompetitif, begitu sukar.

“Apa yang perlu kami lakukan ialah mencuba dan menang di Palace. Langkah demi langkah, pulih, tingkatkan tahap kami, kemudian kami akan lihat perlawanan seterusnya,” kata Guardiola.

Guardiola juga enggan mengulas mengenai keadaan di Chelsea, yang kini dikawal dengan berkesan oleh kerajaan Britain selepas sekatan dikenakan terhadap pemilik kelab itu dari Rusia, Roman Abramovich pada Khamis.

“Kedudukan untuk pengurus dan pemain Chelsea, ia pasti situasi yang tidak selesa tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya tidak mahu mengatakan apa-apa yang tidak selesa untuk Chelsea atau kelab kami,” kata Guardiola.