PN nafi keluar surat sokong Anwar jadi PM ke-10

Surat kononnya PN bersetuju memberikan sokongan penuh kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10 yang tular di media sosial pada Khamis.
Surat kononnya PN bersetuju memberikan sokongan penuh kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10 yang tular di media sosial pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menafikan mengeluarkan satu surat kononnya parti itu bersetuju memberikan sokongan penuh atas pencalonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-10 seperti yang tular di media sosial.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat tersebut adalah palsu dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Parti PN menafikan kewujudan surat bertarikh 23 Februari 2022 yang menggunakan nama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepala surat parti sebagaimana yang tersebar semenjak malam semalam.

“Perikatan Nasional percaya bahawa rakyat Johor tidak akan terpedaya dengan amalan kempen kotor sesetengah parti politik yang terdesak dan tidak dapat menerima gelombang sokongan rakyat terhadap calon dan ikrar Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera parti diseru untuk kekal fokus mendekati rakyat dan membawa aspirasi serta keprihatinan Perikatan Nasional demi bangsa Johor dalam tempoh-tempoh akhir berkempen PRN Johor 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Surat yang tular di media sosial itu antara lain mendakwa berlaku perbincangan berkaitan satu kerjasama politik antara PN dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Bagi merealisasikan kerjasama politik ini, PN sanggup memberi kepercayaan dan menyatakan sokongan penuh ke atas pencalonan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-10. Dicadangkan nama baharu kerjasama ini adalah Perikatan Harapan bagi merealisasikan gabungan semua pihak.

“Untuk tambah memperkukuh hubungan politik antara PN dan PKR, satu mesyuarat pembahagian kerusi wajar diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya PRN Johor.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan lebih awal, maka persediaan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) akan dapat disusun dengan lebih teratur,” menurut surat itu.