Kes rasuah syarikat penghantaran, dua individu direman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua individu direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan syarikat penghantaran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan kedua suspek direman sehingga 15 Mac bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap suspek yang masing-masing berusia 54 tahun dan 47 tahun itu selepas Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zaharah Alias mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Jumaat.

Menurut sumber, kedua suspek lelaki yang masing-masing merupakan penolong pengurus operasi dan bekas pengurus bahagian kontrak di sebuah syarikat penghantaran ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 4.30 petang pada Khamis ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Kedua suspek disyaki telah menerima rasuah daripada syarikat-syarikat penghantaran antara 2019 hingga 2021 sebagai balasan membantu bagi mendapatkan kerja-kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan syarikat terbabit, melibatkan nilai projek kira-kira RM29 juta.

"Kegiatan itu dipercayai dilakukan bersama seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang telah ditahan reman selama enam hari oleh SPRM pada 8 Mac lalu," katanya.

Ujarnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: