ANM dalam proses tambah baik benih padi agar tahan cuaca ekstrem

ANM sedang menjalankan penambahbaikan daya tahan terhadap benih padi agar mempunyai ketahanan terhadap cuaca ekstrem yang tidak menentu di negara ini. - Gambar hiasan
ANM sedang menjalankan penambahbaikan daya tahan terhadap benih padi agar mempunyai ketahanan terhadap cuaca ekstrem yang tidak menentu di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Nuklear Malaysia (ANM) sedang menjalankan penambahbaikan daya tahan terhadap benih padi agar mempunyai ketahanan terhadap cuaca ekstrem yang tidak menentu di negara ini.

ANM dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ketika ini pasukan penyelidik agensi itu telah memulakan penyelidikan bagi menghasilkan varieti benih padi baharu iaitu IS22 dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Menurut ANM, pihaknya turut mendapat bantuan teknikal dari Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Kerjasama Nuklear Asia.

"ANM sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global,” menurut kenyataan itu.

Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada penghasilan dua jenis benih yang mampu memberi pulangan, kualiti hasil padi yang baik dan benih yang berdaya tahan apabila ditenggelami banjir, serta tidak menggunakan kuantiti air yang banyak.

Bagi menghasilkan varieti benih seumpama itu, ANM berkata, pegawai penyelidiknya sedang menjalankan kajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir dengan kaedah kacukan balik benih padi IS21, dengan varieti yang tahan banjir dan matang awal.

Selain itu ANM juga sedang menjalankan penyelidikan penghasilan padi tahan kemarau menggunakan padi tradisional wangi hitam yang dijangka siap tahun ini.

"Kajian ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum suatu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah,” kata ANM. - Bernama

Artikel Berkaitan: