Pihak berkuasa teruskan tinjauan di lokasi tanah runtuh

Anggota polis memantau keselamatan kawasan perumahan yang berlaku insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis. - Foto Bernama
Anggota polis memantau keselamatan kawasan perumahan yang berlaku insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa dan anggota penyelamat meneruskan pemantauan di lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan awal Jumaat.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati situasi di kawasan terbabit masih dikawal pihak berkuasa selain keadaan cuaca semasa adalah cerah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meninjau lokasi insiden pagi ini.

Tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Ampang pula mendapati setakat ini, hanya seorang waris mangsa yang terkorban dalam insiden itu telah hadir ke jabatan berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi SAR kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu yang bermula petang semalam tamat pada kira-kira 2 pagi tadi selepas kesemuanya berjaya ditemukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.

Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: