Mi siput makanan ringan kegemaran rakyat Johor

Md Shahir menjemur mi siput yang telah dimasak dan dibentuk ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama
Md Shahir menjemur mi siput yang telah dimasak dan dibentuk ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama
A
A
A

TANGKAK - Mi siput atau mi sanggul adalah makanan ringan yang popular dalam kalangan penduduk Johor terutama di daerah-daerah utara negeri ini.

Berbentuk seperti muruku, ia disajikan dengan sambal sebagai pencicah, malah ada yang memanggilnya sebagai mi keras.

Walaupun mi siput adalah makanan ringan, pembuatannya bukanlah mudah.

Proses membentuk mi siput yang telah dimasak sebelum dikeringkan. - Foto Bernama
Proses membentuk mi siput yang telah dimasak sebelum dikeringkan. - Foto Bernama

Menurut pengusaha ‘Mee Siput Kak Chik’ Md Shahir Meskom, 51, bahan-bahan membuat mi siput hanyalah tepung gandum, tepung sagu, air dan sodium, namun proses pembuatannya agak rumit iaitu melibatkan menguli adunan menjadi doh, kepada meleperkan doh dan dipotong menjadi bentuk mi.

"Mi perlu direbus, diikuti dengan ‘dicetak’ atau meletakkan mi yang direbus ke dalam acuan serta dikeringkan di bawah matahari, sebelum diletakkan ke dalam ketuhar yang dibuat sendiri,” katanya kepada Bernama di kilang kecil miliknya di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir di sini.

Mi Siput Kak Chik siap dikeringkan dan sedia untuk digoreng atau dicelur dalam air panas ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama
Mi Siput Kak Chik siap dikeringkan dan sedia untuk digoreng atau dicelur dalam air panas ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama

Pesara tentera itu berkata cuaca memainkan peranan penting dalam proses pengeringan kerana sekiranya hujan, mereka perlu meletakkan mi siput yang dicetak terus ke dalam ketuhar selama sekurang-kurangnya 15 hingga 16 jam, berbanding jika cuaca panas yang hanya mengambil masa empat ke lima jam.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu sejak 2012 bersama isterinya Azizah Ahmad, 50, berkata mereka bermula di dapur rumah sehinggalah mempunyai kilang kecil sendiri.

Md Shahir menunjukkan proses membentuk mi siput yang telah dimasak sebelum dikeringkan ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di rumahnya di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama

Bernama melihat sendiri proses pembuatan mi siput dari awal hingga ke akhir dan apa yang lebih menarik adalah ketuhar bersaiz bilik sederhana itu dibuat sendiri oleh Md Shahir menggunakan peralatan seperti gas, arang dan kipas.

Md Shahir berkata anggaran purata pengeluaran harian ketika ini adalah kira-kira 1,500 keping mi siput dengan keuntungan sekitar RM6,000 hingga ke RM7,000 sebulan, berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan iaitu antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan.

Mee Siput Kak Chik dikeluarkan dalam bentuk kering mentah atau siap digoreng, selain turut dijual sambal pencicah.

Menurut Md Shahir, produk yang boleh didapati di kedai-kedai di kawasan Bukit Gambir itu, juga dipasarkan ke selatan Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Md Shahir (kanan) bersama isteri menunjukkan dua jenis mi iaitu mi siput goreng dan mi siput kering berserta sambal tumis ketika tinjauan pembuatan makanan tradisional tersebut di rumahnya di Kampung Sawah Ring, Tangkak. - Foto Bernama

"Semoga wabak Covid-19 ini cepat berakhir, sasaran kami selepas ini adalah untuk hantar produk kami ke seluruh negara. Insya-Allah anak-anak akan teruskan,” katanya. - Bernama