'Pejuang pilihan tepat bina negara baharu berintegriti, bersih'

Calon-calon Pejuang yang bertanding pada PRN Johor menunjukkan simbolik menolak rasuah dan menunjukkan plakad Rasuah Busters ketika di Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor, baru-baru ini.
Calon-calon Pejuang yang bertanding pada PRN Johor menunjukkan simbolik menolak rasuah dan menunjukkan plakad Rasuah Busters ketika di Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor, baru-baru ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Bukan mahu mengejar jawatan atau wang, sebaliknya keputusan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk membantu membentuk sebuah penyatuan rakyat menentang kleptokrat.

Demikian tegas calon Pejuang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mahdzir Ibrahim yang mahu memberi tumpuan membantu masyarakat dan membina sebuah kerajaan berkredibiliti serta berintegriti.

Beliau sebelum ini merupakan ahli DAP bertindak menukar haluan setelah mendapat penerangan tentang hala tuju dan objektif penubuhan Pejuang daripada Tun Mahathir Mohamad.

Katanya, selain lebih sesuai dan cocok dengan jiwanya, Pejuang merupakan sebuah parti solo yang tidak bergabung dengan mana-mana parti lain yang diketahui umum berhadapan pelbagai isu tersendiri.

"Dengan menyertai Pejuang, saya dapat lebih bergerak untuk membantu ke arah penyatuan rakyat, seterusnya menolak kumpulan pemimpin tidak bersih.

"Pejuang merupakan parti solo yang tidak ada kompromi atau kerjasama dengan rejim kleptokrasi.

"Maka Pejuang lebih sesuai dan cocok dengan jiwa serta perjuangan saya untuk membantu membina sebuah kerajaan berkredibiliti, penuh integriti, cekap serta bersih," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mahdzir Ibrahim.
Mahdzir Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mengulas gerak kerja dan kempen di DUN Semerah, Mahdzir berkata, semuanya berjalan lancar dan beliau mungkin mempunyai sedikit kelebihan di kawasan tersebut.

Katanya, sedikit kelebihan itu adalah kerana Pejuang bergerak secara solo, maka dirinya tidak terpalit dengan isu melibatkan parti seperti rasuah atau penyelewengan kuasa.

Jelasnya, kelebihan yang sedikit itu mungkin boleh menjadi satu kelebihan besar buat dirinya jika pengundi mahu satu perubahan dalam landskap baharu politik Malaysia.

"Untuk itu, saya berharap seluruh rakyat negeri Johor dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

"Apa yang paling penting untuk kita pilih kerajaan baharu yang jauh lebih bersih dan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my