Veteran UMNO Johor tuntut Abdul Hadi mohon maaf

Othman (belakang, tengah) bersama-sama pimpinan Veteran UMNO Johor mengadakan sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor, Johor Bahru, pada Khamis
Othman (belakang, tengah) bersama-sama pimpinan Veteran UMNO Johor mengadakan sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor, Johor Bahru, pada Khamis
A
A
A
JOHOR BAHRU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa supaya memohon maaf dan menarik semula dakwaan bahawa masyarakat Melayu Johor kurang memahami politik Islam.

Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali malah UMNO yang lahir di Johor Bahru sentiasa komited untuk menegak dan mengembangkan agama Islam di seluruh negeri.

"Dalam sejarah perjuangan UMNO di negeri ini, parti itu telah melawan dan melenyapkan musuh Islam dan Melayu iaitu Malayan Union.

"Sepatutnya tuan guru Hadi sebelum mengeluarkan kenyataan itu bertanyakan dahulu dengan rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dia kan Menteri Besar Johor selama dua penggal dahulu.

"Namun jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) terlupa, soalan itu boleh juga ditanyakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini pada Khamis.

Pada Isnin, Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa kurangnya kesedaran politik Islam di Johor sebagai punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri ini walaupun menjadi antara negeri terawal ditubuhkan cawangan parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Othman berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut selain memaklumkan Islam berkembang dengan subur negeri ini khususnya sektor pendidikan dalam kalangan melibatkan generasi muda.

"Boleh dilihat, pendidikan Islam di negeri ini subur dengan adanya sekolah agama di seluruh negeri bermula daripada Darjah Satu sehingga Darjah Enam, kemudian ditambah lagi dengan Darjah Khas dan juga Maahad Johor.

"Pendidikan Islam di negeri ini sudah bermula sejak lebih 100 tahun lalu, sekolah agama dibuka sama ada di bandar atau kampung, jadi dakwaan sedemikian adalah tidak berasas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu berharap, pemimpin tertinggi Pas itu akan membuatkan permohonan maaf berhubung dakwaan tersebut.

"Kalau dah buat salah dalam berkata-kata mohon maaf la, kalau masih tidak mahu itu menunjukkan sikap sendiri yang bongkak, jangan hanya kerana perbezaan terus kita lupa nilai-nilai Islam," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my