MAFI salur peruntukan RM150,000 kepada PPK Sri Medan

Ronald berucap pada Program MAFI dan Majlis Pemulihan Negara bersama Komuniti Agromakanan pada Rabu.
Ronald berucap pada Program MAFI dan Majlis Pemulihan Negara bersama Komuniti Agromakanan pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyalurkan peruntukan RM150,000 di bawah inisiatif Peningkatan Produktiviti Ternakan Bebiri kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan pada Rabu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, PPK Sri Medan menunjukkan peningkatan yang baik dengan mencatat keuntungan sebanyak RM548,361 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 walaupun telah merekodkan kerugian pada tahun 2019.

“Sekali lagi pencapaian keuntungan PPK ini telah terus meningkat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 iaitu meningkat kepada RM811,540,” katanya semasa berucap pada Program MAFI dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama Komuniti Agromakanan di sini pada Rabu.

Program tersebut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad.

Dalam pada itu, Ronald juga telah mengumumkan pembahagian dividen kepada ahli PPK Sri Medan dengan nilai 10 peratus bagi tahun 2020 sepertimana yang dipohon telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.

“Berdasarkan rekod, PPK Sri Medan yang mempunyai ahli seramai 4,846 orang dengan jumlah saham berbayar berakhir 31 Disember 2020 ialah RM1,777,404 iaitu purata pemilikan saham RM366.78 seorang.

“PPK Sri Medan juga telah menerima Anugerah Penghantaran BTS tertinggi di Negeri Johor dari Pertubuhan Peladang Negeri Johor dengan nilai anugerah sejumlah RM65,000. Ianya satu kejayaan kepada PPK Sri Medan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MAFI dan MPN serta Komuniti Agromakanan Lembaga Pertubuhan Peladang telah mengadakan suatu program untuk peladang, penternak dan nelayan serta ahli-ahli peladang di Negeri Johor untuk berinteraksi dengan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, majlis itu juga memberikan peluang kepada para tetamu kehormat untuk turun padang bagi mendapat gambaran mengenai potensi pengeluaran agromakanan di daerah Batu Pahat, Johor.

Selain itu, ia juga menjadi medan untuk tetamu kehormat menyampaikan hasrat dan berkongsi misi serta alternatif terbaik yang dirangka bagi merancakkan lagi pengeluaran sektor agromakanan di Johor.

“Majlis ini melibatkan terus pemain industri dan pengusaha sektor agromakanan meliputi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan keseluruhan rantaian agromakanan termasuk kementerian, jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan.

“Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menunjukkan impak positif apabila ekonomi Malaysia kini beransur pulih dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas,” jelasnya.

Sementara itu, Ronald berkata, kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah berusaha sedaya-upaya bagi memastikan wujud keseimbangan antara kehidupan dan keperluan melindungi nyawa, di samping menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

"Sejak Covid-19 melanda negara, kerajaan PN telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bagi memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“warga sektor agromakanan turut tidak diabaikan dan dana-dana yang diberikan melalui pakej-pakej seperti Prihatin, Penjana dan Dana Jaminan Makanan telah dimanfaatkan oleh keseluruhan golongan sasar agromakanan.

“Dana Khas Projek Agromakanan Pertubuhan Peladang di bawah Prihatin sebanyak RM200,000 juga diberikan kepada setiap Pertubuhan Peladang seluruh negara bagi membantu warganya yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

Pada masa sama, Ronald berkata, program tersebut turut disampaikan sumbangan Bakul Makanan MAFI Prihatin oleh Muhyiddin kepada 50 orang ahli-ahli peladang yang terdiri daripada tujuh buah PPK.

Menurut beliau, ia termasuk PPK Sri Medan, PPK Batu Pahat Tengah, PPK Parit Raja, PPK Rengit, PPK Parit Sulong, PPK Simpang Lima dan PPK Senggarang.

“Penyaluran sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin itu diberikan kepada ahli-ahli peladang yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

“Pemberian sumbangan MAFI Prihatin itu bertujuan meringankan beban ahli-ahli peladang yang terkesan. Sumbangan yang disampaikan merangkumi barangan keperluan harian merangkumi minyak masak, beras, tepung, gula, susu dan lain-lain keperluan,” katanya.