Integriti pegangan utama Tun Abdul Razak

Dr Chandra Muzaffar
Dr Chandra Muzaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein mempunyai integriti yang tinggi dan amat bencikan rasuah ketika bertanggungjawab mentadbir negara.

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr Chandra Muzaffar berkata, Tun Abdul Razak yang juga bapa pembangunan Malaysia itu akan memastikan dana awam walaupun dalam jumlah yang sedikit tidak akan digunakan untuk tujuan peribadi.

"Pencapaian cemerlang Tun Abdul Razak tidak mungkin dapat dicapai sekiranya Tun tidak memiliki kualiti tertentu. Umum mengetahui bahawa beliau sangat tidak mementingkan diri sendiri dan berdedikasi untuk kesejahteraan rakyat. Beliau juga sangat rajin dan teratur.

"Tidak ramai anak muda Malaysia tahu bahawa integriti adalah salah satu sifat mulia beliau.

"Beliau menjalani kehidupan yang sederhana dan berjimat cermat selain terdapat banyak episod yang diingati oleh mereka yang rapat dengannya tentang bagaimana beliau memastikan dana awam walau sekecil mana pun tidak digunakan untuk tujuan peribadi. Rasuah adalah laknat baginya," katanya dalam program Tun Razak: His Eleven Outstanding Achievements melalui aplikasi Zoom pada Rabu.

Program tersebut merupakan anjuran Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy dan Universiti Taylor membincangkan mengenai 11 sumbangan besar Tun Abdul Razak ketika menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Chandra juga menyifatkan Tun Abdul Razak sebagai individu yang optimis menentang amalan rasuah dalam negara.

Menurutnya, ia dibuktikan dengan langkah memperkenalkan beberapa mekanisme untuk membendung rasuah pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Pada ketika itu tahun 1967, Malaysia mempunyai agensi pencegahan rasuah yang pertama di dunia. Tiada negara lain yang mempunyai agensi atau mekanisme tersebut.

"Selain itu, pada tahun 1969 Tun Abdul Razak telah memperkenalkan pengubalan dalam undang-undang untuk menentang rasuah," katanya.