MOSTI, MARDI diminta bangunkan padi baharu tahan banjir: PM

Ismail Sabri ( tengah) menyerahkan simbolik benih padi IS21 kepada wakil komuniti di Felcra Sri Mahkota Endau, Mersing pada Rabu.
Ismail Sabri ( tengah) menyerahkan simbolik benih padi IS21 kepada wakil komuniti di Felcra Sri Mahkota Endau, Mersing pada Rabu.
A
A
A

MERSING - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diminta bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu yang tahan lasak ditenggelami banjir dan tidak perlu menggunakan air yang banyak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan dua varieti padi baharu itu dapat mengurangkan kerugian ditanggung pesawah serta petani apabila bencana banjir menenggelamkan sawah padi malah boleh meningkatkan pendapatan.

"Di Filipina dan India ada benih padi yang tahan apabila ditenggelami air banjir. Negara kita ketika ini tidak tentu bila berlaku banjir, kadangkala masa padi sedang ranum atau pun anak padi sedang membesar tetapi ditenggelami banjir sehingga tanaman padi musnah.

"Keduanya, padi yang tidak memerlukan air yang banyak dan menggunakan kaedah siraman seperti pokok bunga, jadi ia tak perlu tali air yang memerlukan belanja besar, namun hanya guna sprinkler sekali gus mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan.

"Sebelum ini, MARDI ada membangunkan varieti padi tidak menggunakan banyak air namun hasil pengeluarannya tidak tinggi dan hanya antara tiga dan empat tan sahaja. Oleh itu, saya berpendapat MOSTI dan MARDI perlu bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu ini supaya ia lebih berkualiti dan dapat membantu pesawah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada komuniti di Felcra Sri Mahkota Endau, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Dalam program itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut menyampaikan 500 guni benih padi IS21 seberat 20 kilogram (kg) setiap satu kepada wakil komuniti Endau.

Artikel Berkaitan:

Benih padi IS21 itu dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia, agensi di bawah MOSTI yang dijana melalui teknologi nukleur.