Pembalakan di Pahang tidak melebihi CTT ditetapkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) memaklumkan aktiviti pembalakan di Pahang tidak melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN).

Timbalan Menterinya, Datuk Ali Biju berkata, perolehan itu berdasarkan rekod daripada tahun 2016 sehingga 2020.

Beliau berkata, penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi kawasan yang diusaha hasil dan setiap kerajaan negeri perlu mematuhi kadar yang telah ditetapkan dan pematuhan terhadap CTT dilaporkan dalam mesyuarat MTN.

“MTN Ke-71 yang bersidang pada 14 Disember 2015 telah bersetuju dengan penetapan CTT bagi negeri Pahang seluas 68,435 hektar.

"Berdasarkan rekod daripada tahun 2016 hingga 2020, hutan pengeluaran dalam hutan simpan kekal di negeri Pahang yang telah diusaha hasil dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) adalah seluas 58,075 hektar.

“Ini menunjukkan pengusaha hasilan di negeri Pahang tidak melebihi CTT yang telah ditetapkan iaitu pengurangan sebanyak 10,360 hektar daripada kadar CTT yang telah ditetapkan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) yang memintanya menyatakan usaha kerajaan mengawal pembalakan di Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lalu.

Ali berkata, bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pula, CTT yang telah ditetapkan oleh MTN Ke-77 pada 28 September 2020 di negeri Pahang adalah seluas 58,000 hektar.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan pengurangan sebanyak 10,435 hektar berbanding dengan kadar CTT pada RMK11,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tujuan pelesenan pembalakan di hutan Tanah Kerajaan dan Tanah Bermilik, ianya tertakluk kepada pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2015) yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambahnya, jabatan-jabatan perhutanan negeri akan mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh JAS.

“Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara teratur, pelesen perlu menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan (RMH) sebelum lesen dikeluarkan.

“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016 iaitu ‘Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ sebagai rujukan utama Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.