Guru interim BI diserap lantikan tetap jika penuhi syarat CEFR

Mohd Radzi. - Foto Bernama
Mohd Radzi. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Guru interim Bahasa Inggeris (BI) lantikan 22 April 2019 yang tamat tempoh kontrak pada 21 April depan akan diserap lantikan tetap sekiranya memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta lulus temu duga.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bermula pada tahun 2022, urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap 'proficient' (mahir) iaitu tahap CEFR C1.

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu.

“Ini termasuklah mahir berbahasa Inggeris pada tahap ‘independent proficiency’ seperti yang ditakrifkan oleh CEFR.

“Berdasarkan ketetapan tersebut, guru interim BI yang dilantik pada 22 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April 2022 serta telah memenuhi syarat CEFR C1 dan lulus temuduga akan dilantik tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi guru interim BI yang akan tamat tempoh lantikan interim pada 21 April tetapi tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan turut ditemuduga untuk lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Radzi memberitahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Artikel Berkaitan:

“Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” katanya.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM segera menyelesaikan isu situasi guru interim BI ambilan 2019 yang mana dilaporkan tamat kontrak pada 21 April ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, adalah amat mengecewakan jika benar guru interim ditamatkan kontrak memandangkan masing-masing mempunyai kelayakan dengan pengalaman mengajar hampir tiga tahun.