Lima balai polis di Kelantan terjejas teruk akibat banjir

Muhamad Zaki (tiga dari kanan) dan Ariffain (dua dari kanan) melihat antara peralatan yang rosak akibat banjir di SMA Nurul Huda Kajang Sebidang, Kuala Jambu, Tumpat pada Rabu.
Muhamad Zaki (tiga dari kanan) dan Ariffain (dua dari kanan) melihat antara peralatan yang rosak akibat banjir di SMA Nurul Huda Kajang Sebidang, Kuala Jambu, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Lima balai polis di dua daerah di Pasir Mas dan Tumpat dikenal pasti terjejas teruk akibat banjir yang melanda negeri ini pada minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, balai yang terlibat ialah Balai Polis Jeram Perdah, Balai Polis Rantau Panjang, Balai Polis Bakong di Pasir Mas manakala di Tumpat pula Balai Polis Kuala Jambu serta Balai Polis Simpangan.

Menurut Muhamad Zaki, pihaknya dalam proses mentaksir nilai kerosakan dan kerugian kesemua balai polis yang terjejas.

“Ada lima balai yang terjejas teruk kerana ditenggelami banjir sehingga semeter dan ada juga beberapa balai polis lain yang turut dinaiki air namun tidak terlalu terjejas.

“Kami dalam proses melakukan penilaian terhadap kerosakan dan kerugian yang berlaku bagi tujuan baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Komuniti Policing Pasca Banjir Ibu Pejabat Polis Tumpat di Sekolah Menengah Arab (SMA) Nurul Huda Kajang Sebidang, Kuala Jambu, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengetua SMA Nurul Huda Kajang Sebidang, Ariffain Mis dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Muhamad Zaki pada program itu turut menyampaikan bantuan kotak makanan daripada Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada 50 mangsa banjir di kawasan Pengkalan Kubor di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerosakan yang berlaku di balai-balai terlibat lebih pada struktur bangunan yang terkena air manakala dokumen-dokumen penting, peralatan pejabat dan sebahagian perabot yang boleh dialihkan sudah dipindah ke tempat selamat lebih awal.

“Laporan pentaksiran kemusnahan tersebut akan dihantar kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya.

“Selainnya, 30 anggota polis dan keluarga yang turut menjadi mangsa banjir juga akan dibantu berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.

Ujar beliau, setakat ini, sebanyak 1,278 laporan akibat kemusnahan banjir diterima daripada orang awam antaranya yang tinggal di Rantau Panjang dan Pasir Mas.

“Laporan diterima berkaitan pelbagai kerosakan yang dialami mangsa semasa banjir termasuk kemusnahan kediaman, tanaman dan ternakan.

“Semua laporan ini akan dibuat pecahan mengikut kategori dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri untuk memudahkan agihan bantuan,” katanya.