Umum calon MB selepas menang PRN Johor: Muhyiddin

Muhyiddin (dua dari kiri) dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Mendayakan Ketersambungan Luar Bandar dan Merapatkan Jurang Digital Dengan TV White Space di Stadium MPM Lenga pada Rabu.
Muhyiddin (dua dari kiri) dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Mendayakan Ketersambungan Luar Bandar dan Merapatkan Jurang Digital Dengan TV White Space di Stadium MPM Lenga pada Rabu.
A
A
A

PAGOH - Calon Menteri Besar bagi Perikatan Nasional (PN) akan diputuskan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walau bagaimanapun pengundi tidak perlu bimbang kerana calon yang bertanding mempunyai kelayakan yang baik.

Tambahnya, calon dari PN juga mempunyai latar belakang yang berpengalaman yang boleh mentadbir negeri Johor.

“Saya berpendapat dan selepas berbincang dengan pimpinan tertinggi PN, kita tidak perlu mengumumkan, akan ada bila dah diputuskan peroleh sejumlah kerusi yang mampu membentuk kerajaan maka selepas itu baru namakan dan kemukakan untuk diperkenankan oleh Sultan.

“Oleh sebab itu, jangan bimbang kerana ramai di antara calon-calon yang kita letak ini merupakan calon yang cukup baik dan latar belakang pengalaman yang ada yang boleh digunakan untuk mentadbir.

“Jadi tidak ada masalah kepada kita jadi saya harap pengundi tidak rasa ragu dan saya rasa parti-parti lain juga tidak menamakan siapa calon menteri besar, bukan bermakna tiada, memang ada tetapi ikut Perlembagaan perlu dilantik oleh Sultan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Mendayakan Ketersambungan Luar Bandar dan Merapatkan Jurang Digital Dengan TV White Space di Stadium MPM Lenga, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pengundi seharusnya mengambil kesempatan untuk kembali ke tempat masing-masing untuk mengundi.

Menurutnya, ia kerana bagi beliau merupakan satu keadaan yang amat diperlukan untuk membantu memenangkan calon yang bertanding terutama dari PN.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu dapatkan jumlah kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu di atas nama PN.

“Jadi sebab itu sewajarnya mereka ini harus kembali ke kampung untuk mengundi tempat masing-masing pada 12 Mac ini.

“Lebih penting lagi anak-anak muda 18 tahun ke atas yang sudah didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih dan mereka yang tidak pernah mengundi pun dah jadi pemilih, jumlahnya sudah 700,000,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga menyasarkan peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 hingga 75 peratus lebih tinggi berbanding PRN Melaka.

“Kita harap supaya peratusan pengundi yang keluar itu jauh lebih tinggi daripada yang di Melaka lebih kurang 60 peratus tetapi Johor saya harap lebih 70 peratus sekurang-kurangnya ini dapat memberi gambaran yang realistik.

“Jika itu dapat dilaksanakan Insya-Allah saya kira sokongan yang akan keluar itu dapat membantu membentuk sebuah kerajaan yang ingin dipilih oleh mereka,” jelasnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my