PN sedia tangani kos sara hidup, hayati masalah rakyat

Keutamaan tangani kos sara hidup melalui Tunjang 3 dalam Ikrar Perikatan Nasional dilihat selari dan menghayati masalah ekonomi rakyat masa ini.
Keutamaan tangani kos sara hidup melalui Tunjang 3 dalam Ikrar Perikatan Nasional dilihat selari dan menghayati masalah ekonomi rakyat masa ini.
A
A
A

Ketidaktentuan ekonomi dan dibelenggu dengan kos sara hidup tinggi memerlukan anjakan baharu dalam memastikan ‘survival’ rakyat untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, segala perancangan, bantuan dan pelbagai usaha yang ingin dilakukan haruslah jelas dan tepat kepada golongansasar agar ia lebih efektif dan efisien dalam membantu rakyat yang terkesan teruk khususnya sejak pandemik Covid-19 melanda.

Melihatkan kepada Ikrar Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung 12 Mac ini, keutamaan tangani kos sara hidup melalui Tunjang 3 dalam ikrarnya itu dilihat selari dan menghayati masalah ekonomi rakyat masa ini.

Mengguna pakai dua strategi untuk merealisasikannya iaitu meringankan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar, beberapa tawaran dilihat menarik untuk disingkap antaranya memperkenalkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah dan memperkenalkan bakul makanan ‘Johor Prihatin’ yang diagihkan secara berkala kepada keluarga yang memerlukan.

DR BARJOYAI
DR BARJOYAI

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika ditanya mengenai inisiatif ini menjelaskan, pemberian air percuma boleh dilaksanakan memandangkan air terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Jelasnya, jika ia bukan di bawah kuasa mutlak kerajaan negeri sekalipun, kerajaan boleh mengeluarkan subsidi di bawah belanjawannya dan ia telah dilakukan dengan jayanya di Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Pengenalan skim air percuma ini sudah pasti akan membantu rakyat kerana bagi yang berpendapatan rendah, mereka akan mendapat faedah apabila untuk satu jumlah tertentu atau maksimum, mereka tidak perlu membayar bil air. Ini dapat menurunkan belanja bulanan mereka.

“Begitu juga dengan inisiatif bakul makanan, saya melihatnya langkah serta-merta dan bagus, cuma kita kena pastikan barangan yang diberikan itu memang diperlukan dan digunakan oleh suri rumah.

“Atau mereka boleh memudahkannya dengan memberikan kredit melalui kad tunai untuk berbelanja di pasar raya atau kedai-kedai tertentu, itu sudah tentu akan memudahkan rakyat membeli mengikut keperluan,” katanya.

KUNJUNGAN - Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat dari kiri) bergambar bersama calon PN DUN Johor Lama, Alias Rasman (tiga dari kiri) ketika kunjungannya di bilik gerakan PN Zon Timur, Kota Tinggi.
KUNJUNGAN - Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat dari kiri) bergambar bersama calon PN DUN Johor Lama, Alias Rasman (tiga dari kiri) ketika kunjungannya di bilik gerakan PN Zon Timur, Kota Tinggi.

Tambah Barjoyai, dalam mengkaji ikrar yang ditawarkan, perlu dilihat juga bidang kuasa kerajaan negeri kerana sesetengahnya berada di luar kuasa mereka, contohnya bagaimana hendak mengawal inflasi.

Bagaimanapun katanya, jika sesetengah resolusi atau ikrar itu mengaitkan pemberian subsidi daripada kerajaan negeri, itu memang berada di bawah kuasa kerajaan berkenaan.

Jelasnya, cadangan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan negeri untuk aktiviti pertanian dan dijadikan pusat pengumpulan hasil pertanian, perikanan dan penternakan juga boleh dilakukan dengan mudah.

“Jika ia berjaya dilakukan, memang dalam jangka pendek kita tidak akan nampak kesannya kerana ia memerlukan masa beberapa bulan atau tahun untuk melihat hasilnya tetapi ia langkah bijak dan terhadapan.

“Ada pelbagai kaedah dan insentif yang perlu diberikan dalam meningkatkan taraf ekonomi rakyat tetapi paling penting ia kena dilakukan secara mikro dan terperinci di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) agar sampai sehingga ke peringkat bawah.

“Jika inisiatif-inisiatif ini berjaya dilaksanakan di setiap DUN dan wakil rakyat mempunyai cukup motivasi serta pasukan untuk melaksanakannya, saya rasa ia boleh mewujudkan kesan yang besar untuk rakyat,” jelasnya.

Cabaran utama tangani isu ekonomi rakyat Johor

BERTUGAS - Jentera Pas Selayang, Selangor turun padang membantu kempen PRN Johor bagi calon PN DUN Simpang Jeram, Zarul@Mohamad Zahrul Salleh. Mereka menjadikan kawasan perumahan di Taman Jeram 3 sebagai lokasi mengedarkan risalah dan maklumat berkaitan calon kepada pengundi.
BERTUGAS - Jentera Pas Selayang, Selangor turun padang membantu kempen PRN Johor bagi calon PN DUN Simpang Jeram, Zarul@Mohamad Zahrul Salleh. Mereka menjadikan kawasan perumahan di Taman Jeram 3 sebagai lokasi mengedarkan risalah dan maklumat berkaitan calon kepada pengundi.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ikrar PN dilihat memberikan penumpuan jelas dan ketara terhadap meningkatkan ekonomi rakyat terutamanya di Johor.

DR AHMED RAZMAN
DR AHMED RAZMAN

Katanya, ia sememangnya wajar dijadikan sebagai fokus utama memandangkan Malaysia masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, di Johor katanya, cabaran menanti dan serius memandangkan Johor adalah antara negeri yang mempunyai populasi teramai di Malaysia dan antara negeri yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jika dilihat masalah ekonomi rakyat, ia harus dianggap serius. Ikrar PN yang menumpukan kepada satu negeri iaitu Johor, sebenarnya boleh dibentangkan dan dikemukakan dengan lebih terperinci.

“Sebab itu, bila disebut tentang pemberian bakul makanan dan mengusahakan tanah pertanian, semua itu disebabkan masalah khusus yang dialami oleh penduduk. Ia boleh dilaksanakan serta-merta kerana peruntukan itu mudah untuk diberi.

“Mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan negeri untuk aktiviti pertanian kerana ia di bawah bidang kuasa negeri. Kerajaan negeri yang memerintah mempunyai ruang atau mekanisme yang sesuai untuk menukar taraf atau membangunkan tanah pertanian. Saya lihat, ikrar itu realistik kerana ia di bawah kuasa kerajaan negeri,” ujar beliau.

KEMPEN - Bendera PN dan poster yang memaparkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin menghiasi sekitar jalan raya di Taman Sri Gading, Batu Pahat.
KEMPEN - Bendera PN dan poster yang memaparkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghiasi sekitar jalan raya di Taman Sri Gading, Batu Pahat.

Bagaimanapun, Ahmed Razman menjelaskan, apa yang penting adalah memastikan setiap ikrar yang dibentangkan harus dilaksanakan dan perlunya buku laporan untuk dibentangkan kepada rakyat.

Jelasnya, ia sekali gus membolehkan rakyat memantau pelaksanaannya dan segala inisiatif yang dijanjikan dapat ditunaikan dan memberi manfaat kepada rakyat.

TUNJANG 3

Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

STRATEGI 1: Meringankan Kos Sara Hidup

- Memperkenalkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

- Memperluaskan program Jualan Prihatin Rakyat di setiap daerah.

- Memperkenalkan bakul makanan Johor Prihatin yang diagihkan secara berkala kepada keluarga yang memerlukan.

- Meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan, termasuk jualan terus dari ladang serta penambahan lokasi dan kekerapan pasar tani.

- Memperkasakan penyelarasan dan memudah cara pengagihan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sumbangan zakat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU.

- Mewujudkan Dana Kebuniti Johor bagi menggalakkan aktiviti pertanian komuniti dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan NGO.

- Mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan negeri untuk aktiviti pertanian dan dijadikan pusat pengumpulan hasil pertanian, perikanan dan penternakan

- Memperkasakan perkhidmatan Bas Muafakat Johor bagi mengoptimumkan akses pengangkutan yang menyeluruh kepada kumpulan yang memerlukan.

- Meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan kawalan harga barang dan perkhidmatan dengan kerjasama masyarakat, PBT dan Kerajaan Persekutuan.

STRATEGI 2: Meningkatkan Pendapatan Kumpulan Sasar

- Menambah pendapatan petani, penternak dan nelayan dengan memberi fokus kepada aktiviti pertanian bernilai tinggi seperti jagung bijirin, nanas premium dan akuakultur.

- Memperkasakan penglibatan petani, penternak dan nelayan dalam industri hiliran seperti penghasilan makanan sejuk beku melalui penyelarasan bantuan, latihan dan pemasaran dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

- Menjamin pendapatan petani dengan memudah cara dan memperbanyakkan program ladang kontrak dengan kerjasama agensi Kerajaan dan pihak swasta.

- Menyediakan bantuan khas kepada penjaja dengan memberi pengurangan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan secara one-off.

- Menyediakan bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor.