Rancangan jahat Israel bawa masuk 'olim' dari Ukraine

Sebuah kedai di bandar Nof Hagalil, utara Israel memaparkan notis makluman dalam bahasa Rusia sebagai persediaan menerima ketibaan pelarian Yahudi dari Ukraine. - Foto AFP
Sebuah kedai di bandar Nof Hagalil, utara Israel memaparkan notis makluman dalam bahasa Rusia sebagai persediaan menerima ketibaan pelarian Yahudi dari Ukraine. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Israel merancang untuk membawa masuk kumpulan pelarian Yahudi dari Ukraine bertujuan untuk mengekalkan 'keunggulan' demografi Yahudi bagi menghapuskan populasi Palestin yang berdepan penindasan sejak beberapa dekad lalu.

Sejak kempen pencerobohan Rusia dilancarkan ke atas Kiev pada 24 Februari lalu, rejim Tel Aviv telah mengalu-alukan kumpulan pelarian Yahudi untuk 'berhijrah' ke Israel malah ia sanggup menghapuskan halangan birokrasi bagi memastikan ketibaan mereka secepat mungkin.

"Kami menggesa komuniti Yahudi di Kiev untuk berpindah ke Israel (rumah anda)," ujar Kementerian Imigresen dan Penyerapan dalam satu kenyataan pada 26 Februari lalu.

Pada awal bulan lalu, Bahagian Penempatan Pertubuhan Zionis Sedunia yang dibiayai rejim Tel Aviv turut mengumumkan pembinaan 1,000 struktur kediaman termasuk di wilayah Palestin demi untuk keluarga Yahudi dari Ukraine.

Menurut Profesor Lana Tatour di Univesity of New South Wales di Sydney, Israel melihat krisis Ukraine sebagai peluang besar untuk membawa masuk pendatang Yahudi bagi meningkatkan jumlah populasi mereka.

"Israel sebenarnya bukan membuka sempadan negara mereka kepada pelarian Ukraine sebaliknya ia dibuka khas untuk komuniti Yahudi dari Kiev," jelasnya.

Difahamkan, kira-kira 200,000 penduduk Yahudi di Ukraine berkelayakan untuk berhijrah ke Israel seperti ditetapkan Undang-undang Kepulangan 1950 dan mendapatkan hak kewarganegaraan di bawah peraturan pada 1952 yang akan diberikan kepada individu yang mempunyai ibu atau bapa atau datuk atau nenek berbangsa Yahudi.

Bagi memastikan rancangan jahat itu berjalan lancar, enam stesen untuk memproses permohonan pelarian Yahudi telah dibuka di Poland, Moldova, Romania dan Hungary.

Artikel Berkaitan:

Golongan itu turut diberikan 'layanan istimewa' dan ditempatkan secara sementara di negara-negara jiran yang memberi perlindungan sebelum diterbangkan ke Israel.



Jangka ketibaan 100,000 'olim'

Ketika ini, Datuk Bandar Nof Hagalil, Ronen Plot membuat persiapan untuk menyambut ketibaan pelarian Yahudi dari Ukraine.

"Nof Hagalil dibangunkan daripada 'penghijrahan'. Kami akan membawa masuk seberapa ramai yang boleh," kata Plot, 67, yang juga tiba di Israel dari Moldova kira-kira 50 tahun yang lalu.

Selepas operasi ketenteraan Rusia bermula, Plot telah menghantar 'jemputan' kepada 'olim' atau pendatang Yahudi ke bandar utara Israel tersebut menerusi Facebook.

"Kami berbesar hati untuk menyertai usaha penempatan tersebut jika gelombang pelarian yang besar tiba," ujarnya lagi.

Antara keluarga yang menerima jemputan Plot ialah Chaim Gershman yang tiba di Nof Hagalil pada Khamis lalu bersama isteri dan empat anak mereka.

"Pada mulanya, kami tidak percaya dengan tawaran tersebut kerana menyangka ia mungkin hanya ajak-ajak ayam. Kami pilih Nof Hagalil kerana jemputan datuk bandarnya," menurutnya.

Plot memberitahu komuniti tersebut mengalu-alukan kumpulan pelarian dari Ukraine kerana lebih separuh daripada 50,000 penduduk bertutur dalam bahasa Rusia.

"Saya menyediakan 600 bilik hotel dan 300 apartmen untuk menempatkan golongan tersebut," tambahnya lagi.

Pihak berkuasa Israel menjangkakan ketibaan kira-kira 100,000 'olim' dan keluarga mereka dari Ukraine dan Rusia.

Pada Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Israel, Ayelet Shaked menganggarkan kira-kira 15,000 pendatang Yahudi dari Kiev akan tiba di negara tersebut menjelang akhir bulan ini.

"Kami adalah 'polisi insurans' untuk golongan Yahudi," kata anggota Parti Yamina itu.

Bagi penduduk Israel yang memberi perlindungan kepada pelarian Ukraine bukan berbangsa Yahudi selain bukan saudara terdekat, mereka perlu membayar deposit AS$3,046 (RM12,739) untuk setiap individu, namun wang itu akan dipulangkan apabila mereka beredar. - Agensi