Ahli gabungan, bersekutu PSM sambut baik pendirian MOM

No Image Caption
A
A
A

AHLI Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang melibatkan 10 ahli gabungan dan empat ahli bersekutu menyambut baik pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang masih mengiktiraf entiti tersebut sebagai badan induk sukan sepak takraw kebangsaan.

Pada masa sama ahli gabungan dan bersekutu itu mengakui terkilan dengan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang meluluskan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baharu sukan sepak takraw negara sambil menyifatkan tindakan berkenaan bercanggah dengan prinsip serta semangat kesukanan selama ini.

“PSM juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan PPS yang dilihat tidak mahu memberi kerjasama dan memberi maklum balas berkenaan permohonan pertemuan yang telah diajukan oleh PSM sebelum ini, malah PPS telah mengambil tindakan tergesa-gesa dengan memberi kelulusan kepada MSC tanpa memberi ruang perbincangan bersama PSM terlebih dahulu.

“Tindakan PPS yang meluluskan MSC dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengiktiraf MSC merupakan satu tindakan yang amat dikesali dan diragui serta dilihat tidak mengikut kaedah atau prosedur ditetapkan seperti melalui kelulusan atau persetujuan MOM terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, ahli gabungan PSM merangkumi Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan (PERSWIP), Persatuan Sepaktakraw Johor (PSJ), Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Persatuan Sepaktakraw Sabah (ASTAKA), Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSNP).

Selain itu Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepaktakraw Negeri iMelaka (PASTAM), Persatuan Sepaktakraw Negeri Pulau Pinang (PESENANG) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Negeri Sembilan (PESTANS).

Sementara itu, ahli bersekutu PSM adalah Persatuan Sepaktakraw Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Sukan PDRM, Majlis Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (MASKAB) dan Majlis Sukan Penjara Malaysia.

Pada masa sama ahli gabungan dan bersekutu PSM tersebut sepakat mendokong entiti berkenaan sebagai badan induk sukan sepak takraw negara sekali gus menolak MSC sebagai entiti baharu sukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan PPS ini memberi kesan buruk kepada kemajuan sukan negara khususnya sukan sepak takraw dan kami meminta agar siasatan secara terperinci perlu dilakukan agar perkara seperti ini tidak berulang kepada mana-mana persatuan sukan yang lain selepas ini,” jelasnya.