Agensi pelancongan perlu titik berat aspek kesihatan pelancong

Dalam tempoh kurang dari sebulan, ahli-ahli MATA bakal menyediakan pelbagai promosi pakej pelancongan termasuk dalam dan luar negara. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Khalid Harun)
Dalam tempoh kurang dari sebulan, ahli-ahli MATA bakal menyediakan pelbagai promosi pakej pelancongan termasuk dalam dan luar negara. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Khalid Harun)
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap ahli Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dinasihatkan untuk lebih menitik berat aspek kesihatan pelancong yang dibawa masuk ke Malaysia dengan menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memantau tahap kesihatan mereka setiap hari.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, terdapat juga pihak yang menjual kita ujian kendiri Covid-19 di pasaran yang lengkap dengan aplikasi untuk memantau tahap kesihatan bagi kesemua pelancong yang masuk.

“Dengan adanya teknologi sebegini, ia dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan bagi membendung kes Covid-19 yang melibatkan pelancong asing.

“MATA dan ahli sentiasa memberi sokongan dan kerjasama khususnya kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan kembali Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami akur setiap prosedur operasi standard (SOP) yang akan dirangka nanti bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong asing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April depan.

Beliau berkata, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, beliau yakin dalam tempoh kurang dari sebulan, ahli-ahli MATA bakal menyediakan pelbagai promosi pakej pelancongan termasuk dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rata-rata ahli dari sektor agensi pelancongan menyambut pengumuman tersebut dengan penuh rasa gembira.

“Dari sektor perhotelan pula, bilik-bilik penginapan akan disediakan bagi pelancong antarabangsa yang bakal masuk ke Malaysia nanti.

“Ahli-ahli dari sektor lain seperti taman tema, restoran, perkapalan dan kedai cenderahati juga sudah tentu mengukir senyuman atas pengumuman ini.

“Sudah pasti mereka akan lebih bersedia untuk menyambut pelancong-pelancong luar,” jelas beliau.