Bumi Christchurch 'menangis' lagi...

Satu majlis solidariti anjuran UCSA diadakan sebagai tanda penghormatan kepada tragedi itu. - Foto Facebook Awfiya Homestay Perth
Satu majlis solidariti anjuran UCSA diadakan sebagai tanda penghormatan kepada tragedi itu. - Foto Facebook Awfiya Homestay Perth
A
A
A

TRAGEDI yang menimpa dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu bukan hanya dirasai ahli keluarga yang kehilangan malah seluruh dunia turut bersedih.

Baru-baru ini, berlangsung suatu majlis solidariti anjuran Persatuan Penuntut Universiti Canterburry (UCSA) sebagai tanda penghormatan kepada tragedi itu yang mengorbankan 50 mangsa sebelum solat Jumaat itu.

Sejak semalam video berdurasi 1 minit 28 saat tular di media sosial, video bacaan Surah al-Baqarah dengan penuh penghayatan oleh seorang pelajar dari Malaysia yang dikenali sebagai Shahmi Aiman Saiful Adly, 21 tahun.

No Image Caption

Shahmi yang merupakan penuntut Malaysia di UCSA, telah diminta untuk mengiringi bacaan doa, namun menurut pemuda yang berasal dari Pasir Mas Kelantan ini, dia bagaimanapun tergerak hati untuk mengalunkan sekali Surah al-Baqarah ayat 154 hingga 157 berserta dengan maksud sekali.

Dapat didengar, alunan ayat suci al-Quran yang berkumandang di bumi New Zealand dengan dengan penuh rasa hormat daripada ribuan pelajar daripada UCSA.

Malah, ada yang tidak mampu menahan sebak apabila ada dalam kalangan mereka dilihat menitiskan air mata mendengar bacaan ayat suci al-Quran oleh Shahmi Aiman.

Difahamkan, perhimpunan yang diadakan di padang Universiti Canterburry dihadiri 10,000 penuntut yang rata-rata daripada universiti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dipetik Harian Metro, Shahmi Aiman berkata, dia sebak ketika membaca doa pada majlis perhimpunan tersebut.

"Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sebaknya hati ketika saya membaca doa dan surah al-Baqarah itu pada majlis perhimpunan berkenaan.

“Namun, saya gagahi juga demi mendoakan mangsa yang terkorban dalam serangan di dua masjid itu. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata penuntut tahun dua jurusan perakaunan di Universiti Canterbury, New Zealand.

Menurut Shahmi Aiman majlis perhimpunan itu diadakan selama sejam bermula jam 12 tengah hari kelmarin dan pihak universiti membatalkan semua kelas bagi membolehkan penuntut menghadiri perhimpunan itu sebagai tanda sokongan kepada penganut Islam di negara terbabit.

Shahmi Aiman merupakan anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adly Abu Bakar, merupakan seorang penghafaz al-Quran jadi tidah hairanlah bacaannya amat lancar dan jelas.