Dua lagi calon PRN Johor positif Covid-19

Gambar dari kiri: Wong Chan Giap, Chew Chong Sin
Gambar dari kiri: Wong Chan Giap, Chew Chong Sin
A
A
A

KLUANG - Dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Mengkibol daripada Pakatan Harapan (PH), Chew Chong Sin, dan Perikatan Nasional (PN) Wong Chan Giap, disahkan positif Covid-19 hari ini.

Chong Sin menerusi Facebooknya berkata, beliau disahkan positif Covid-19 menerusi ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dilakukannya.

Menurutnya, beliau juga telah menjalankan ujian saringan dua hari lalu dan keputusannya adalah negatif.

“Dukacita dimaklumkan saya dan isteri telah disahkan positif Covid-19 dan keputusan saringan PCR telah diterima daripada klinik tadi.

“Saya ingin memohon maaf di atas segala kesulitan kepada ahli keluarga, pasukan dan para pengundi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Chong Sin berkata, segala aktiviti berkempen sudah terhenti sejak dimaklumkan beliau adalah kontak rapat.

Tambahnya, keputusan semua ahli pasukan Bilik Gerakan Mengkibol adalah negatif dan mereka akan menjalankan ujian setiap hari secara berterusan.

“Setelah dimaklumkan saya adalah kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 semalam, saya tidak menyertai semua kerja berkempen sejak semalam dan merancang akan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama tiga hari.

Artikel Berkaitan:

“Walau bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pesakit Covid-19 perlu kuarantin tujuh hari, jadi saya tidak dapat membuang undi dan tidak menyertai kempen pilihan raya dalam minggu yang kritikal ini,” ujarnya.

Sementara itu, Chan Giap menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau juga disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19, pagi Selasa.

“Saya ingin memohon maaf kepada penduduk-penduduk di Kluang yang ada berhubung dengan saya dalam beberapa hari yang lalu, terutamanya pengundi Mengkibol.

“Tengah hari semalam, saya berasa sedikit ketidakselesaan dan terus balik rumah. Pagi ini, saya melakukan ujian saringan dan malangnya saya telah disahkan positif.

"Saya mengalami simptom yang sama seperti diterangkan oleh KKM iaitu demam, lemah badan, menggigil, sakit tekak, batuk dan sakit kepala,” jelasnya.

Ujar Chan Giap, pasukan jenteranya akan terus menjalankan kempen pilihan raya walaupun beliau terpaksa menjalani kuarantin. Walau bagaimanapun, beliau akan tetap berkempen dengan menggunakan media sosial.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my