Tubuh jawatankuasa selamatkan Malaysia Airlines

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar bagi menyumbang idea dan kepakaran untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana MAB merupakan instrumen penting dasar, penggerak ekonomi utama dan aset strategik yang tidak harus diketepikan.

“Daripada mendapatkan khidmat pakar asing yang mungkin tidak tahu situasi sebenar, kita seharusnya mengambil pakar tempatan selain mendapatkan maklum balas warga kerja Malaysia Airlines, persatuan mereka dan penumpang tentang penambahbaikan seterusnya syarikat penerbangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah ada pihak minat beli MAS: Tun Mahathir

Lam Thye berkata, negara juga tidak ketandusan pakar dan pemimpin industri yang telah membuktikan keupayaan mereka dalam memulihkan syarikat besar untuk kembali mencatat keuntungan selain pakar ekonomi dan perniagaan terkemuka yang pandangannya ditagih oleh institusi antarabangsa.

Beliau juga percaya syarikat penerbangan itu akan terus mencatatkan keputusan yang baik sekiranya pasukan pengurusan syarikat menerima sokongan penuh semua pihak, selepas syarikat itu mengumumkan kerugian yang lebih rendah tahun lepas.

“Kita juga harus menghargai sumbangan semua warga kerja MAB kerana mereka sering kali menerima anugerah atas perkhidmatan yang cemerlang. Malaysia Airlines bukan sahaja menerbangkan penumpang ke destinasi mereka tetapi juga mempromosikan negara kita yang berbilang bangsa dan kepelbagaian di luar negara,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pihak di dalam dan di luar negara berminat untuk membeli MAB bagaimanapun kerajaan masih mahu meneliti perkara tersebut sebelum membuat keputusan menjual syarikat penerbangan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: