Sekolah disaran wujudkan kawasan rehat guru

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap sempena Majlis Perasmian Konvensyen Pembantu Tadbir Kementerian Pendidikan hari ini.- Foto Bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berucap sempena Majlis Perasmian Konvensyen Pembantu Tadbir Kementerian Pendidikan hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekolah di seluruh negara disaran menyediakan kawasan rehat guru (KRG) selain bilik guru yang merupakan ruang kerja golongan pendidik.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, berdasar lawatannya ke beberapa sekolah sebelum ini mendapati terdapat keperluan untuk mewujudkan KRG yang kondusif sebagai ruang guru berehat setelah selesai sesi pengajaran di kelas.

“Ini penting, kerana secara psikologinya guru juga manusia biasa dan perlukan ruang untuk berehat. KRG merupakan sebahagian aspirasi kementerian untuk mewujudkan suasana kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

“Saya ingin mengalakkan pelbagai pihak seperti pihak swasta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan sumbangan serta membantu menyediakan KRG, hal ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti pengajaran guru,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Berdasarkan surat pekeliling bertarikh 19 Disember lepas, kementerian memaklumkan pewujudan KRG merupakan antara 12 inisiatif terbaharu kementerian tersebut.

KRG merupakan satu kawasan atau ruang kongsi khusus untuk guru merehatkan badan dan fikiran seketika sebelum mereka meneruskan tugasan lain di sekolah. Ruang tersebut seharusnya mempunyai kemudahan dan kelengkapan asas yang kondusif.

Maszlee berkata, terdapat beberapa sekolah telah mewujudkan KRG dan berharap lebih banyak sekolah akan mewujudkan ruang rehat tersebut yang secara tidak langsung menjadi motivasi kepada guru untuk meningkatkan prestasi mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: