Polis Selangor siap siaga kelengkapan, anggota hadapi banjir

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor diletakkan dalam keadaan bersiap siaga menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesiapsiagaan ini meliputi segala aspek termasuk aset-aset bantuan untuk digunakan ketika banjir.

"Jumlah keseluruhan anggota polis di negeri ini lebih 14,000 anggota, dan untuk penugasan menghadapi banjir ini kesemua diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

"Ini termasuk penggunaaan aset-aset seperti bot dan sebagainya yang digunakan untuk menghadapi banjir ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, seramai 300 daripada 56 keluarga mangsa banjir ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor berikutan hujan berterusan sejak petang Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lapan pusat pemindahan itu dibuka sejak jam 8.30 malam.

Menurutnya, PPS yang dibuka itu ialah di Dewan Camelia Sekyen 10 Putra Height, Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman dan Dewan Puchong Jaya.

"Selain itu, PPS dibuka di Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan banjir melibatkan 11 lokasi di negeri ini.

Katanya, lokasi yang dikenal pasti setakat jam 7.30 malam itu ialah di Kampung Sri Kundang, Kampung Gombak (Kuang), Siera Mas, Kampung Sungai Merab (Cyberjaya), Pekan Meru dan Bandar Baru Sungai Buloh.

"Ia turut melibatkan Kampung Melayu Sungai Buloh, Taman Medan (Petaling Jaya), Kampung Tengah (Subang), Taman Kinrara (Puchong) dan Taman Sri Langkas (Cyberjaya)," katanya.

Katanya, bagaimanapun rata-rata kawasan itu tidak melibatkan pemindahan mangsa.