Penduduk buntu hadapi banjir termenung

Abdul Majid menunjukkan keadaan terkini rumahnya dipenuhi rumput yang dihanyutkan banjir di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang pada Isnin.
Abdul Majid menunjukkan keadaan terkini rumahnya dipenuhi rumput yang dihanyutkan banjir di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Bagaikan tinggal di perkampungan air, itulah keperitan yang perlu dialami oleh penduduk di beberapa buah kampung di sini selepas kawasan rumah mereka masih digenangi banjir termenung walaupun cuaca berada dalam keadaan baik.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan seperti Kampung Bendang Perol, Gual Tok Deh, Tersang dan Lachang mendapati perahu masih digunakan sebagai pengangkutan utama sejak 10 hari lalu.

Seorang penduduk dari Kampung Bendang Perol di sini Abdul Majid Abdullah, 65, berkata, walaupun cuaca bertambah baik namun dia dan keluarga masih perlu bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh.

"Kawasan kediaman kami susah untuk air surut, lebih-lebih lagi sejak adanya projek tebatan banjir yang masih dalam proses pembinaan merumitkan lagi keadaan.

"Lebih mengejutkan lagi, paras air banjir kali ini mencecah sehingga paras bumbung rumah. Ini merupakan kali pertama penduduk di sini mengalami banjir teruk," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Abdul Aziz mencuci rumahnya yang turut terkesan dengan banjir di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang.
Abdul Aziz mencuci rumahnya yang turut terkesan dengan banjir di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan semua barangan dalam rumah tidak boleh diselamatkan ekoran paras air terlalu tinggi.

Katanya, kerja-kerja mengemas juga belum siap sepenuhnya kerana keadaan rumah yang masih digenangi air.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penghulu Mukim Tanah Putih, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sepanjang banjir kali ini Kampung Tersang paling teruk terjejas.

"Selain itu, paras air di kampung berkenaan masih lagi belum surut. Jadi saya mengharapkan cuaca terus baik selepas ini.

"Hal ini bagi membolehkan kerja-kerja mencuci dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, setakat ini banjir termenung di sini melibatkan 300 keluarga di Kampung Luar; Gual Nibong, Bawah Lembah, Kusar, Padang Licin, Tasek Bakong, Lanchang dan Tersang.