PRN Johor: SPR benar penceramah buka pelitup muka

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto Bernama
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPR dalam satu kenyataan memberitahu, ketetapan baharu itu berdasarkan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Selepas menyampaikan ceramah atau syarahan hendaklah terus memakai semula pelitup muka, tanpa kelengahan.

"Sementara semua yang hadir mendengar ceramah dalam kempen hendaklah sentiasa memakai pelitup muka. Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu hendaklah sentiasa dikekalkan," menurut kenyataan tersebut pada Isnin.

SPR memaklumkan, semua ahli atau jentera parti yang hadir dalam mesyuarat parti wajib memakai pelitup muka sepanjang masa serta menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

"Aktiviti bersalaman adalah dilarang. Pindaan pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor berkuat kuasa serta-merta.

"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," kata SPR.

Pada Ahad, satu sesi ceramah yang dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tegang seketika apabila seorang pegawai kesihatan cuba memberi amaran kepada pemimpin politik itu untuk mematuhi SOP.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekecewaannya apabila ditegur kerana menanggalkan pelitup muka ketika hendak memulakan ucapannya di ketika berucap di Jalan Bakawali di sini.

Tegas beliau, perkara itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menganggap peraturan sedemikian hanya menyukarkan lagi perjalanan kempen dan ceramah ketika PRN Johor.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my