Penggiliran di sekolah rendah akan dihentikan pada masa sesuai

Radzi Jidin
Radzi Jidin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menghentikan pembelajaran bersemuka secara penggiliran di sekolah rendah pada masa yang sesuai dan tidak akan menunggu sehingga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) mencapai kadar vaksinasi 100 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pendekatan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan negara yang sedang beralih kepada fasa endemik.

"Kita akan lihat kepada persekitaran keadaan, bincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana semua sudah tersedia, vaksin tersedia, hanya tunggu anak-anak divaksinkan. Kalau kadar pengambilan tidak meningkat, maka dalam konteks ini sampai bila kita mahu gilirkan anak-anak ke sekolah.

Sampai masa sesuai kita akan kembalikan murid (di sekolah) yang lebih 600 orang (murid) ini kepada tanpa penggiliran,” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kementerian akan meletakkan satu sasaran peratusan kadar vaksinasi dalam PICKids bagi menghentikan sistem penggiliran sekolah rendah.

Sebelum ini, Radzi mengumumkan sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 murid, dikehendaki mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023, tidak lama lagi.

Sementara itu, Radzi berkata KPM komited dalam memastikan lebih ramai murid dapat hadir ke sekolah seperti biasa dan berada dalam keadaan yang selamat.

"Kita akan pantau keadaan semasa dan insya-Allah akan buka... sampai satu masa kita akan umumkan yang sekolah lebih 600 murid Tahun Tiga, Empat dan Lima juga tidak akan digilirkan lagi. Sebab itu kita beritahu ibu bapa lebih awal bahawa itu perancangan kita, maka ibu bapa perlu buat keputusan yang baik untuk anak-anak mereka,” katanya.

Radzi juga berkata mengikut data KKM, setakat semalam dilaporkan sebanyak 32.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah divaksinkan dan pelajar sekolah menengah secara umumnya melebihi 50 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kadar di sekolah rendah ini jauh lebih rendah. Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM supaya dapat bantu dalam apa sahaja bagi memudah cara proses vaksinasi untuk anak-anak berumur lima hingga 11 tahun ini,” katanya. - Bernama