Jangan percaya keputusan RTK antigen meragukan

Dr Noor Azmi - Foto Bernama
Dr Noor Azmi - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Orang ramai dinasihat tidak mempercayai pelbagai video di media sosial yang memaparkan keputusan kit ujian pantas (RTK) antigen meragukan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, orang ramai sepatutnya membuat laporan kepada pihak berkuasa atau Kementerian Kesihatan bagi membolehkan siasatan dilakukan bagi mengetahui kebenaran video itu dan keaslian RTK yang digunakan.

"Setiap RTK yang dikeluarkan perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

"Ini kerana penjualan RTK tanpa kelulusan adalah satu kesalahan iaitu sama seperti penjualan sijil vaksinasi palsu dan tindakan berat boleh diambil kerana ia menggugat kepercayaan serta kesihatan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-60 Pertubuhan Kebajikan Agama Islam dan Masyarakat Melayu Komuniti Bagan Serai di Surau Al-Asriah di sini pada Ahad.

Noor Azmi juga berkata, beliau akan mengadakan pertemuan khas bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada Selasa depan bagi memberi penerangan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk disampaikan kepada golongan agama yang meragui kegunaan vaksin.

"Saya akan memberi penerangan tentang PICKids dan apa masalah yang kita hadapi serta kita mohon bantuan agamawan kerana mereka boleh membantu kerana yang memberi tanggapan negatif antaranya adalah daripada golongan agama.

"Jadi kita hendak beritahu tentang perkara sebenarnya... mungkin salah faham atau maklumat tidak sampai, jadi kita perlu memberi penerangan malah saya juga banyak membuat sesi taklimat di negeri-negeri mengenai kebaikan vaksin sebagai langkah mengatasi perkara ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: