Saya tidak ambil satu sen daripada hadiah: Tun M

Dr Mahathir - Foto: Bernama
Dr Mahathir - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak menerima satu sen daripada hadiah yang ditawarkan sebagai ganjaran atau hadiah sebagai bekas Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, beliau memilih untuk membayar harga tanah yang ditawarkan kepada beliau.

“Saya juga bekas Perdana Menteri tetapi tidak ambil suatu sen daripada hadiah, mungkin kerana jasa saya itu tidak ada, tidak cukup hendak dapat hadiah.

“Tetapi saya mengaku ada tawaran hendak beri kepada saya sekeping tanah saya tolak dan saya sebaliknya tawar untuk beli tanah bukan dapat percuma,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Jelas Dr Mahathir, beliau membuat keputusan untuk menolak ganjaran yang diberikan kerana gaji yang diterima setiap bulan sudah cukup banyak bagi seorang pemimpin nombor satu negara ketika itu.

“Saya dapat RM20,000 sebulan (sebagai Perdana Menteri) lebih daripada cukup, bahkan kerajaan beri semua keperluan kepada saya.

“Saya diberi rumah, air, pengangkutan dan beberapa buah kereta kereta malah penerbangan pun percuma,” katanya.

Justeru katanya, keputusan kerajaan untuk meluluskan permohonan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ganjaran sebuah hartanah bernilai RM100 juta tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi persidangan Dewan Rakyat Oktober tahun lalu mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis, Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.