Tentera Rusia terus perhebat serangan

Penduduk Ukraine berlindung di bawah sebuah jambatan yang musnah ketika mereka cuba menyeberangi Sungai Irpin di pinggir ibu kota. - Foto: Agensi
Penduduk Ukraine berlindung di bawah sebuah jambatan yang musnah ketika mereka cuba menyeberangi Sungai Irpin di pinggir ibu kota. - Foto: Agensi
A
A
A

KIEV - Tentera Rusia pada Isnin memperhebatkan kempen serangan dari udara, darat dan laut ke atas beberapa bandar selepas ia dikatakan bersiap siaga untuk menawan ibu kota Kiev yang cuba diambil alih sejak minggu lalu.

Siri sekatan antarabangsa yang bertujuan untuk ‘menghukum’ Moscow juga gagal menghalang kemaraan tentera Rusia setelah operasi ketenteraan berskala besar itu kini memasuki hari ke-12 dan telah meragut ratusan nyawa.

Tentera Ukraine menembak jatuh dron milik Moscow sebagai usaha untuk melindungi beberapa penduduk yang cuba melarikan diri dari kawasan di pinggir Kiev. - Foto: Agensi
Tentera Ukraine menembak jatuh dron milik Moscow sebagai usaha untuk melindungi beberapa penduduk yang cuba melarikan diri dari kawasan di pinggir Kiev. - Foto: Agensi

“Musuh tetap meneruskan kempen pengeboman di bandar Kharkiv. Ia turut mengepung Kiev, Chernihiv, Sumy dan Mykolaiv,” kata Ketua Turus Am Angkatan Tentera Ukraine dalam satu kenyataan.

Di bahagian selatan, tentera Rusia didakwa melancarkan serangan dari laut ke atas perkampungan Tuzly di wilayah Odessa dan menyasarkan tapak infrastruktur penting.

Selain itu, Moscow membedil sebuah universiti dan blok apartmen di bandar Kharkiv sehingga menyebabkan kemusnahan besar pada struktur berkenaan.

Usaha memindahkan penduduk di bandar strategik Mariupol buat kali kedua pada Ahad juga gagal berikutan bedilan bertalu-talu yang menyukarkan proses itu.

Artikel Berkaitan:

Dua mayat orang awam hanya ditutup dengan selimut selepas menjadi sasaran bedilan mortar dilancarkan tentera Rusia ketika mereka cuba meninggalkan Irpin melalui satu-satunya jalan selamat. - Foto: Agensi

Kedua-dua pihak bertelagah itu bagaimanapun saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian gencatan senjata sementara yang dicapai pada akhir minggu lalu.

Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memberi amaran usaha untuk memindahkan kira-kira 200,000 penduduk di bawah koridor kemanusiaan adalah mustahil tanpa Rusia-Ukraine mencapai perjanjian yang berfungsi dan lebih terperinci.

Beberapa penduduk di Kharkiv menyelamatkan barangan penting selepas kediaman mereka terbakar akibat dibedil tentera Moscow. - Foto: Agensi
Beberapa penduduk di Kharkiv menyelamatkan barangan penting selepas kediaman mereka terbakar akibat dibedil tentera Moscow. - Foto: Agensi

Situasi yang semakin meruncing menyebabkan lebih 1.5 juta penduduk Ukraine terpaksa merentasi sempadan untuk mencari perlindungan di negara jiran seperti Poland, Romania atau Moldova selain ramai lagi mangsa yang dilaporkan masih terperangkap kerana tindakan pengepungan Moscow.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan keadaan yang semakin membimbangkan itu sebagai krisis pelarian paling pesat berkembang di Eropah sejak Perang Dunia Kedua tercetus. - Agensi