Dua lelaki edar ketamin, pil ekstasi diberkas

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Cheras, pada Jumaat.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Cheras, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki diberkas kerana disyaki mengedar dadah jenis ketamin dan pil ekstasi di kawasan parkir sebuah pasar raya di Cheras, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 38 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 6.50 petang.

"Mereka memandu dua buah kenderaan berbeza. Polis merampas dadah ketamin seberat 6.1 kilogram dan pil ekstasi seberat 915 gram yang dianggarkan bernilai RM 379,600.

"Polis turut merampas seutas gelang tangan emas dan rantai emas yang dianggarkan bernilai RM 5,000," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohd Shokri berkata, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 30 tahun memiliki dua rekod jenayah dan ujian saringan awal ke atas kedua-dua suspek didapati negatif.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: