PRN Johor: Faktor Muhyiddin beri kelebihan kepada PN

Saifuddin (kanan) bersama-sama calon PN DUN Permas, Tazul Arifin Nasri di bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Isnin.
Saifuddin (kanan) bersama-sama calon PN DUN Permas, Tazul Arifin Nasri di bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Rekod bersih dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat negeri dan pusat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat Johor sehingga kini masih mengingati jasa Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi PN.

Beliau berkata, selain sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin juga merupakan antara Menteri Besar Johor yang paling berjaya dalam sejarah moden negeri ini.

"Apabila kita pergi di mana-mana di Johor, orang masih mengingati Tan Sri Muhyiddin dan ada keyakinan terhadap beliau. Ini kerana sumbangan beliau selama menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor.

"Selain itu beliau juga mempunyai rekod bersih dan pengundi akan membanding-bandingkan legasi beliau sebagai Menteri Besar Johor dengan rekod pemimpin parti lain yang rasuah. Ini memberi kelebihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata, pengundi juga akan menilai prestasi dan kecemerlangan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri.

"Pengundi tahu Muhyiddin jatuh dari kerusi Perdana Menteri akibat mainan politik, bukan atas kesilapan apa-apa dan orang faham keadaan ini.

"Pengundi cerdik dan faham apa yang berlaku," katanya.

Saifuddin yang merupakan Pengerusi Bersatu Pahang berkata, pihaknya menjadikan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon tengah sebagai 'DUN angkat' pada PRN tersebut.

Beliau juga dilantik menjadi Pengarah Bilik Gerakan PN Zon Selatan yang menjaga 17 kawasan DUN.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini saya sudah pergi melawat separuh daripada DUN yang saya jaga dan mendapati, kalau nak banding dengan PRN Melaka, persediaan jentera di PRN Johor 10 kali lebih baik," katanya.

Mengenai sambutan pengundi selepas seminggu berkempen, beliau berkata, walaupun sambutan diterima amat memberangsangkan, namun tidak mahu terlalu yakin sebaliknya terus berusaha keras untuk menang PRN Johor.

"Kita mengetengahkan kombinasi calon yang pelbagai. Ada yang berpengalaman, bekas Menteri Besar Johor, bekas Exco, bekas ahli majlis dan golongan profesional. Ini termasuk calon bukan Melayu yang ditampilkan PN," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my