Biar dasar lawan dasar: Saifuddin Nasution

Saifuddin (kanan) bersama dengan Syed Ibrahim pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.
Saifuddin (kanan) bersama dengan Syed Ibrahim pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.
A
A
A

BATU PAHAT - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini hanya memberi fokus menawarkan calon terbaik kepada rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR juga mahu melawan dasar parti politik pihak lawan berbanding isu peletakan calon Menteri Besar Johor.

“Biar dasar lawan dasar. Bukan calon lawan calon. Bukan soal meletakkan seorang calon Menteri Besar untuk dibandingkan dengan calon menteri besar (parti lain).

“Ia mesti polisi lawan polisi, khidmat lawan khidmat (dan) fokus bela rakyat. Parti yang bertanding itu biar rakyat Johor menilai daripada aspek itu,” katanya pada sidang akhbar di bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Hadir sama Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan lima calon PKR yang bertanding di zon utara dalam PRN Johor.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mengambil contoh pada tahun 2008 di Perak.

"Walaupun memenangi pilihan raya di negeri berkenaan tetapi mereka tidak menamakan calon menteri besar sebelum itu.

“Kita tengok sejarah parti 2008 kita menang pilihan raya termasuk negeri Perak. Sebelum pilihan raya, siapa kenal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon menteri besar?

Artikel Berkaitan:

“Kita tak umum. Lepas rakyat bagi mandat, Mohammad Nizar dipilih sebagai Menteri Besar yang sangat efektif untuk semua kaum,” ujarnya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berseloroh menyebut calon DUN Layang-Layang, Dr Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar Johor bagi Pakatan Harapan (PH).

"Terima kasih Dr Maszlee Malik calon bagi menteri besar, eh bukan menteri besar (tapi) calon bagi DUN Layang-layang," katanya.

Kata-kata itu kemudiannya disambut ketawa oleh Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Ketika itu, Maszlee baru selesai mengakhiri sesi pengenalan calon parti di zon utara.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my