Kerajaan diminta semak semula elaun komando, UTK

Zainal (kiri) menerima sayap kehormat payung terjun 69 Komando disampaikan Abdul Razak bersama Timbalan Komander 69 Komando, Asisten Komisioner Abdul Rani Alias (kanan).
Zainal (kiri) menerima sayap kehormat payung terjun 69 Komando disampaikan Abdul Razak bersama Timbalan Komander 69 Komando, Asisten Komisioner Abdul Rani Alias (kanan).
A
A
A

TAIPING - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia akan menghantar cadangan kepada kerajaan untuk menambah elaun atau faedah-faedah lain anggota dalam pasukan VAT 69 Komando dan unit tindakan khas (UTK).

Timbalan Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, cadangan itu bagi menarik minat lebih ramai individu menyertai pasukan berkenaan yang kini berdepan kekosongan penjawatan.

Menurutnya, pada masa ini berlaku kekosongan jawatan hampir 40 peratus dalam pasukan 69 Komando apabila lebih 650 jawatan disediakan hanya dapat diisi oleh 379 anggota.

"Masalah kekurangan pengambilan ini bukan sahaja dihadapi 69 komando, unit tindakan khas juga berdepan perkara sama dan ia berlaku di negara-negara luar seperti Amerika dan Kanada.

"Kita cuba juga buka pengambilan tahun ini, tetapi masih berdepan kesulitan yang sama, mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan orang kurang minat, antaranya dari segi elaun kerana untuk berada dalam pasukan ini ada kemahiran dan kepakaran tertentu yang harus dimiliki tetapi elaun itu tidak dibayar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Kursus Asas Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 dan Penganugerahan Sayap Kehormat di Lapangan Terbang Tekah, hari ini.

Beliau berkata, dengan cadangan penambahan elaun itu diharap dapat mengimbangi beban tugas, tanggungjawab dipikul dan fungsi unit yang pelbagai dalam menjaga ketenteraman negara.

Katanya, kali terakhir semakan elaun kepada anggota 69 Komando dibuat lebih 10 tahun lalu pada kadar RM600 sebulan.

"Nak tarik orang masuk dengan kadar elaun sebanyak itu mungkin sedikit sukar, bagi sesetengah orang beranggapan baik mereka menjadi polis biasa atau menyertai pasukan-pasukan lain yang tidak perlu meninggalkan rumah dan keluarga sampai berbulan-bulan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ini yang kita sedang usahakan dan saya telah meminta pegawai-pegawai terlibat dalam pasukan ini duduk berbincang supaya kita dapat lakukan sesuatu, kalau boleh jangan sampai ketandusan anggota kerana ini soal keselamatan negara," katanya.

Dalam majlis itu, seramai 32 pelatih termasuk 10 wanita terdiri pegawai dan anggota pangkat rendah 69 Komando serta UTK berjaya menamatkan kursus latihan asas terjunan yang dijalankan selama sebulan.

Hadir sama, Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusoff dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urusetia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar.