Jelajah AKM Johor rekod padanan perniagaan RM5.26 juta

Pengunjung meluangkan masa untuk hadir ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana yang membuka tirai pada Khamis dengan pelbagai aktiviti menarik disusun atur untuk tatapan Keluarga Malaysia di Johor. -Foto: Bernama
Pengunjung meluangkan masa untuk hadir ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana yang membuka tirai pada Khamis dengan pelbagai aktiviti menarik disusun atur untuk tatapan Keluarga Malaysia di Johor. -Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Penganjuran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang menjadikan Johor sebagai lokasi pertama berjaya merekodkan padanan perniagaan sebanyak RM5.26 juta, melepasi sasaran RM3 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program tiga hari bermula 3 Mac itu turut berjaya merekodkan hasil jualan keseluruhan usahawan tempatan sebanyak RM186,191.

Beliau berkata, sebanyak RM49,110 daripada angka itu diraih melalui enam reruai jualan Keluarga Malaysia manakala RM130,447.40 dari segmen Jualan Usahawan (150 reruai) dan RM27,811 lagi dari segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia (sembilan reruai).

Turut menyumbang kepada nilai itu ialah jualan kendera saji yang mencatat jumlah RM22,346.

"Tahniah buat Keluarga Malaysia di Johor. Semoga jelajah ini akan memberi nilai tambah baharu yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah yang lebih baik,” katanya ketika berucap melancarkan jelajah itu di Dataran Angsana pada Sabtu.

Ismail Sabri juga berkata, AKM penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat dengan turun padang ke seluruh negara.

Beliau berkata kementerian melalui agensi masing-masing disaran melakukan penglibatan seperti menyelesaikan isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah dirancang.

"Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi Kerajaan Persekutuan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak yang disediakan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: