Polis kesan saksi bantu siasatan kemalangan maut

Kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang pejalan kaki maut di Bagan Seri pada Januari lalu. - Foto Ihsan PDRM
Kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang pejalan kaki maut di Bagan Seri pada Januari lalu. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis sedang mengesan saksi kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki di Kilometer 111, Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Batu 8 di sini pada 6 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, wanita warga emas, P Arikamari, 68, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, nahas tersebut berlaku ketika sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti dalam perjalanan dari arah Bagan Serai menghala ke Parit Buntar.

Menurutnya, mangsa dipercayai melintas dari kiri jalan masuk ke laluan kenderaan tersebut menyebabkan pemandu terbabit gagal mengelak lalu melanggarnya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kenderaan yang melanggarnya dipercayai melarikan diri sebaik sahaja kemalangan itu berlaku.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mazuki berkata, saksi bebas yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fazri Abdul Aziz di talian 013-7111923 untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: