Jelajah AKM Johor penanda aras siri akan datang: KSN

Mohd Zuki
Mohd Zuki
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penganjuran Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang menjadikan Johor sebagai lokasi pertama, akan dijadikan penanda aras kepada siri jelajah program itu di negeri-negeri akan datang, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, walaupun objektif penganjuran program berkenaan telah tercapai, namun segala kekurangan sepanjang pelaksanaan program itu akan ditambah baik pada masa akan datang.

"AKM ini dibuat selepas kejayaan kali pertama menganjurkannya di ibu negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan hasrat membawa siri jelajah ini ke negeri-negeri.

"Ini bagi membawa perkhidmatan dan agensi kerajaan secara terus kepada rakyat. Kalau ikutkan memang objektif program ini telah tercapai, tapi kita tidak boleh terlalu berpuas hati,” katanya kepada Bernama di tapak AKM di Dataran Angsana, Johor Bahru Mall, pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat hari ini, sambutan diterima daripada rakyat negeri ini begitu memberangsangkan dengan kehadiran lebih 13,000 pengunjung, berbanding sasaran ditetapkan iaitu 10,000 pengunjung.

Program itu, merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran program 100 Hari AKM yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Disember lepas, yang mencatatkan lebih 100,000 jumlah pengunjung yang hadir sepanjang empat hari berlangsung.

Ia berkonsepkan perkhidmatan secara langsung dan pemberian bantuan kepada rakyat dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya Program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia, gerai usahawan, Citarasa Keluarga Malaysia, program sukan seperti e-sukan dan sukan rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: