Buruh maut kereta bertembung

Keadaan dua kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Labu Lama berhampiran Taman Jasper Jaya pada Jumaat. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan
Keadaan dua kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Labu Lama berhampiran Taman Jasper Jaya pada Jumaat. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang buruh maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Labu Lama berhampiran Taman Jasper Jaya di sini pada Jumaat.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian lebih kurang jam 9.30 malam itu membabitkan kereta jenis Toyota Corolla dipandu mangsa, Liew Foo Sang, 45, dan Proton Persona dipandu lelaki berusia 57 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Proton Persona dari arah Labu ke Jalan Lobak dan apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dari arah bertentangan dipercayai cuba masuk simpang kiri.

"Keadaan itu menyebabkan kereta Proton Persona gagal mengelak dan berlaku pelanggaran.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nanda berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Mohd Gadaffi Abd Manaf dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 malam.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati pemandu kereta jenis Toyota Corolla tersepit di bahagian tempat duduk dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba dengan ambulans mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Pemandu kereta jenis Proton Persona yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke HTJS untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan: