MED sedia beri pemahaman supaya lebih cerdik

Mohd Redzuan Md Yusof
Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof membidas sindiran Datuk Seri Anifah Aman (Bebas-Kimanis) yang mencadangkan projek kereta terbang diperbuat daripada buluh dan dibawa ke Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata, kadangkala seseorang itu perlu bersikap realistik dan jangan mengambil ringan dalam melontarkan idea atau pendapat.

"Sebelum memberikan sebarang kritikan atau pandangan pihak berkenaan wajar memahami selok-belok tentang perkara (aero angkasa) itu terlebih dahulu.

"Justeru, dalam konteks ini, aero angkasa merangkumi pelbagai cabang seperti dron (pesawat udara kawalan jauh) dan kereta terbang yang tidak mustahil untuk direalisasikan kelak," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi (MED) 2019 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Mengulas lanjut mengenai isu berkaitan, Mohd Redzuan memberitahu, sektor perkhidmatan penghantaran di China telah menggunakan kereta terbang yang diperbuat daripada bahan teknologi tinggi.

"Jadi kenapa perlu sarankan kereta terbang negara diperbuat daripada buluh? Jika ingin merealisasikan projek ini, kita harus rasional kerana topiknya kini berkaitan penggunaan bahan teknologi tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, sekiranya tidak memahami mengenai projek ini, kami di kementerian bersedia memberikan pendidikan dan pengetahuan supaya mereka lebih cerdik," ujarnya.

Terdahulu, semalam ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, Anifah mencadangkan, projek kereta terbang dimajukan untuk Sabah dan Sarawak.

Ini termasuklah, menyarankan kereta terbang terbabit dihasilkan menggunakan buluh agar ia ringan dan boleh terbang.