Siapa pun kerajaan, diharap jangan pinggirkan Orang Asli

Pintu masuk di Kampung Orang Asli Simpang Arang sudah mula dipenuhi bendera parti politik yang bertanding.
Pintu masuk di Kampung Orang Asli Simpang Arang sudah mula dipenuhi bendera parti politik yang bertanding.
A
A
A

GELANG PATAH - Komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang di sini, nyata tidak kisah dengan siapa yang akan memerintah Kerajaan Negeri Johor meskipun hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya tinggal beberapa hari lagi.

Tinjauan Sinar Harian di kampung itu pada Jumaat, mendapati rata-rata penduduk masih melakukan kegiatan harian seperti biasa dengan sebahagian besarnya adalah nelayan yang menjadikan hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.

Salah seorang penduduk, Komeng, 65 berkata, keluarganya merupakan penduduk asal kampung berkenaan sejak penubuhannya dan telah melihat beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"Kita orang asal di sini mesti menyokong kerajaan, tetapi siapa kerajaan kita tidak kisah. Yang paling utama adalah kebajikan kami sebagai Orang Asli di sini. Apa yang kami dapat selepas pembangunan di buat di sekeliling kami.

"Siapa jadi kerajaan itu bukan perkara utama, sebab kita tahu kerajaan memang akan membantu, bukan parti-parti. Siapa bagi bantuan kita ambil kerana kita memang memerlukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Komeng yang juga bapa kepada 12 anak itu, memaklumkan ketika pelaksanaan PRN Johor ini adalah lebih baik pemimpin atau jabatan kerajaan turun ke padang untuk mendengar sendiri keluhan Orang Asli.

"Saya ini membesarkan anak semua daripada hasil laut, kita tidak pernah kerja di tanah. Cuma saya ada sedikit terkilan apabila kampung kami semakin mengecil, berada di tengah-tengah pembangunan moden, tetapi kehidupan masih sama.

"Kita bekerja di laut, apabila pembangunan naik, maaf cakap pendapatan kami berkurangan, dengan keadaan laut yang semakin kotor, hasil tiada. Pandang masalah kami ini, kami cuma mahukan hak sebagai penduduk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Khairul, 35 berkata, apa yang paling diharapkannya adalah pembinaan sebuah klinik kesihatan bagi memudahkan komuniti Orang Asli di kampung berkenaan mendapatkan rawatan.

"Klinik paling hampir adalah di Gelang Patah, mungkin ada yang melihat kawasan ini tidak jauh tetapi kami sebagai orang asal di sini bukan semuanya mempunyai pendapatan tinggi.

"Kebanyakan daripada kami adalah nelayan, dan tidak mempunyai kenderaan untuk keluar daripada kampung. Jika ada kecemasan tak kan kami nak naik motosikal ke klinik. Ambulan pun lambat di sini," katanya.

Khairul berkata, pembukaan sebuah klinik kesihatan itu juga memudahkan penduduk kampung terutama ibu-ibu yang mengandung mendapatkan rawatan.

"Kita tengok macam tidak percaya tetapi ada lagi penduduk dalam kampung ini yang bersalin di rumah. Sebenarnya bukan semua Orang Asli dah moden, kami masih ada yang tidak berpelajaran dan tidak tahu urusan-urusan seperti ini.

"Tidak mahu nanti ada anak-anak dari kampung kami yang tercicir macam tiada surat beranak dan sebagainya, masa depan mereka adalah masa depan kampung kami," katanya.