PRN Johor: PH tawar tiga teras utama

Barisan pimpinan dan calon PH pada Majlis Pelancaran Tawaran Tindakan PH di sini pada Jumaat.
Barisan pimpinan dan calon PH pada Majlis Pelancaran Tawaran Tindakan PH di sini pada Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Tiga teras utama ditawarkan dalam Tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sekiranya berjaya menawan negeri itu.

Tawaran berkenaan diumumkan oleh tiga pemimpin utama parti komponen PH Johor iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dalam Majlis Pelancaran Tawaran Tindakan Pakatan Harapan di sini pada Jumaat.

Menurut mereka, tawaran tindakan berkenaan memfokuskan kepada membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan rakyat dan mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

"Antaranya, mengusahakan pembukaan penuh sempadan Johor-Singapura melalui kaedah uji dan lepas (Test & Release) bagi memberi peluang kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang alik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, merapatkan jurang pembangunan di antara daerah dengan melaksanakan pelan pembangunan yang komprehensif untuk Johor Utara, Johor Timur, Johor Tengah dan Johor Selatan berdasarkan keperluan dan kemampuan kawasan masing-masing," kata mereka.

Mereka berkata, bagi teras kedua pula, ia memfokuskan kepada menjamin kesejahteraan rakyat dengan mewujudkan semula Kad Sihat Johor.

"Selain itu, PH juga akan melaksanakan Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) dan Skim Perumahan Belia Johor (SPBJ) serta mewujudkan Kembali Skim Takaful Warga Emas.

“Bekerjasama dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan KKM untuk mempertingkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan mental terutamanya kepada warga emas dan keluarga yang mengalami cabaran kesihatan mental akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021.

Artikel Berkaitan:

“PH turut menawarkan baucar tuisyen kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tercicir akibat pembelajaran yang kurang berkesan sewaktu PKP dan pembelajaran dalam talian,” jelas mereka.

Menurut mereka, bagi teras terakhir, ia bagi memastikan wujudnya pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah dengan melaksanakan enakmen anti-lompat parti.

“Selain itu, antaranya melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya ekoran usul Kota Iskandar yang diterima sebulat suara dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“PH juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan mengkaji impak penambahan pengundi 18 tahun dan pengundi automatik serta akan mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan dan DUN Johor," kata mereka.

Selain itu, kata mereka, PH akan mewujudkan pentadbiran yang inklusif, di mana semua Bangsa Johor, tanpa diskriminasi berdasarkan kaum, agama, umur dan jantina akan menikmati hasil perpaduan dan pembangunan merentasi semua daerah.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, tawaran berkenaan sedikit berbeza berbanding dengan parti-parti lain kerana ia lebih kepada rakyat bukan kepada ahli politik.

“Kami juga orang politik tetapi kami tidak mahu mengambil kesempatan ini dengan kedudukan sebagai orang politik.

“Ini kerana kita memberikan saluran ini kepada dua golongan yang menumpukan orang muda, keluarga yang memiliki anak orang kurang upaya (OKU),” katanya


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my