RM2.36 juta untuk bantuan awal kepada murid Tahun Satu di Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

LIPIS - Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM2.36 juta untuk bantuan awal persekolahan kepada setiap murid Tahun Satu di seluruh negeri itu bagi sesi persekolahan tahun 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dijangka seramai 23,617 murid Tahun Satu di seluruh Pahang menerima bantuan kewangan RM100 setiap seorang yang akan disalurkan dalam masa terdekat.

"Program bantuan awal persekolahan bagi murid Tahun Satu ini merupakan kesinambungan inisiatif dari tahun sebelumnya untuk meningkatkan semangat dan motivasi murid bagi memulakan sesi persekolahan.

"Insentif ini diberikan kepada semua murid Tahun Satu di Pahang tanpa mengira bangsa, agama, latar belakang dan keturunan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Wan Rosdy berkata, tiada sebarang borang diperlukan kerana dapatan nama murid adalah secara automatik menerusi data pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah.

Kata beliau, melalui inisiatif itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam penyediaan peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan: