Hari Terbuka GLC 2022 tawar peluang pekerjaan, biasiswa kepada rakyat

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) 2022 dijangka menawarkan banyak peluang pekerjaan dan biasiswa kepada rakyat Malaysia oleh beberapa GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, hari terbuka bertemakan "Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara" itu berpaksikan kepada lima fokus utama iaitu Rakyat, Perniagaan, Ekonomi, Kesihatan Awam dan Agenda Bumiputera.

"Sejak lebih setahun lepas, Kementerian Kewangan telah memulakan usaha penyelarasan fungsi-fungsi GLIC dan GLC. Ini bagi memastikan mereka akan terus mampu untuk mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia pasca pandemik.

"Hari terbuka ini akan memberi peluang untuk rakyat mengetahui lebih lanjut tentang peranan dan sumbangan GLC dan GLIC dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan pada Jumaat.

Hari terbuka yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan melibatkan enam GLIC iaitu Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera bersama-sama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan lebih 20 GLC.

Sementara itu, di bawah Bajet 2022, Kementerian Kewangan juga telah menyediakan portal MySTEP pada tahun lepas bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja bagi sektor awam dan GLC.

Melalui MySTEP, sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik telah ditawarkan mulai Januari 2022.

"Kepada yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam atau GLC, hanya perlu memohon dan memuat naik resume melalui portal tersebut di pautan https://mystep.mof.gov.my/," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat 25 Feb, 2022, seramai 1,827 peserta telah berjaya ditempatkan dengan 1,242 pekerja telah ditempatkan di sektor awam, manakala 585 lagi ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan usaha sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menempatkan 36,884 pekerja setakat 25 Februari 2022.

Katanya, usaha yang memperuntukkan RM2 bilion untuk 2022 itu akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif itu boleh dilayari di https://www.perkeso.gov.my/images/bajet2022/jaminkerja/180122-%20FAQ%20JaminKe rja.pdf

Beliau berkata, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi juga akan meneruskan usaha latihan dan peningkatan kemahiran pada 2022 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 bilion yang menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah latihan dan peningkatan kemahiran Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDC) dengan sasaran 36,000 peluang pekerjaan, Koridor Wilayah (16,000 peluang pekerjaan), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) (25,000 peluang pekerjaan) dan banyak lagi.

Maklumat lanjut berhubung Program Latihan dan Peningkatan Latihan yang disediakan kerajaan boleh dilayari di laman sesawang UpSkillMalaysia di https://upskillmalaysia.gov.my/

Bagi pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS Mikro yang terkesan dengan Covid-19.

Katanya, setakat 25 Feb, 2022, terdapat 741 permohonan bagi pembiayaan tersebut, dan daripada jumlah itu, sebanyak 380 permohonan telah diluluskan dengan pembiayaan berjumlah RM76.3 juta.

Maklumat lanjut mengenai pembiayaan itu boleh didapati di https://www.bnm.gov.my/documents/20124/2294076/FAQ%20PENJANA%20Tourism%2 0Financing_BM.pdf

Di bawah Penjana, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi membantu dan menggalakkan PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan, di mana setakat 25 Feb, 2022, sejumlah RM92.1 juta telah disalurkan kepada 13,892 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi. -Bernama