Selesai isu harga rumah mahal, sukar dimiliki golongan muda: PM

Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA pada Jumaat.
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersama Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) telah menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu harga rumah mahal serta sukar dimiliki oleh masyarakat khususnya golongan muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat Covid-19, harga rumah masih dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki golongan muda khususnya.

"Saya amat berbangga dengan usaha kerajaan Johor bersama-sama agensi kerajaan lain seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri Johor dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA di Residensi Larkin Indah pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA wajar dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan pihak industri menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.

"Inisiatif mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia, khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincangkan semasa mesyuarat MPMMN baru-baru ini. Alhamdulillah kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan tersebut," ujarnya.

Menurutnya, inisiatif seperti itu membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri, termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan jaminan dikeluarkan oleh Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP).

Jelasnya, usaha itu selari dengan pengumuman dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti PR1MA dengan lebih mudah dan luas.

"Saya difahamkan, sebagai permulaan ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah sebelum diperluaskan ke projek PR1MA yang lain.

"Ini pastinya dapat memberi keselesaan kepada para pembeli rumah PR1MA pada masa akan datang untuk merancang pembelian rumah mereka dengan lebih yakin," katanya.