VTL Pulau Pinang-Singapura dibuka mulai 16 Mac ini

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memperluaskan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara dengan membuka satu lagi laluan baharu membabitkan Pulau Pinang-Singapura mulai 16 Mac depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, inisiatif tersebut membolehkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi melakukan perjalanan ulang-alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang telah ditetapkan tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Tambah beliau, ia juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ketersambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura, di samping membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara.

“Ini termasuklah sektor pelancongan yang telah terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Justeru, inisiatif ini yang bermula bagi laluan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mencatat sejumlah 82,906 ketibaan pengembara dari Singapura sehingga Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, penerbangan VTL bagi laluan baharu itu juga akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang akan dioperasikan oleh semua syarikat penerbangan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, penjualan tiket penerbangan VTL akan dibuka dalam tempoh terdekat.

“Butiran lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my.

Artikel Berkaitan:

“Manakala butiran tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura pula oleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg,” katanya.