Muhyiddin terdesak tiru cara BN: Nur Jazlan

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin terdesak untuk memastikan pakatan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu hadapan.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan berkata, akibat terlalu terdesak Muhyiddin sanggup tiru cara Barisan Nasional (BN) dan menjilat balik ludah sendiri, apabila kononnya menyokong kembali projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur ke Singapura.

Jelas beliau, selepas siri kempen Muhyiddin menyerang kluster mahkamah dan isu 1MDB gagal meraih sokongan rakyat, Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat sudah kehabisan modal sehingga terpaksa mengitar semula idea HSR yang dibuat kerajaan BN sebelum ini.

"Muhyiddin telah menyokong pembatalan projek ini zaman PH di bawah Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan tetap membatalkan projek ini semasa menjadi PM zaman PN sampai Malaysia kena bayar ganti rugi RM300 juta kepada Singapura.

"Nampak sangat Presiden Bersatu tahu partinya akan ditolak oleh pengundi Johor pada PRN nanti.

"Dia ingat orang Johor mudah diperdaya dengan janji kosong semasa dia di zaman pimpinan PH dulu? Sekarang nak tipu rakyat dengan menjanjikan air percuma pula," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan bahawa PN akan menyokong pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura antara Malaysia dan Singapura sekiranya gabungan itu memenangi PRN tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau telah menyatakan sokongan terhadap projek itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dengan mendakwa HSR akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, Muhyiddin memang terkenal dengan gaya suka meniru apabila gunakan nama dan warna rasmi perikatannya hampir sama dengan BN untuk mengelirukan para pengundi.

Ujar beliau, bukan itu sahaja, Muhyiddin juga cuba meniru projek-projek mega seperti BN namun semua akhirnya menjadi projek gajah putih.

Katanya, ketika Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, beliau tampil dengan projek 1BestariNet kononnya untuk memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa berurusan di platform mata, tapi projek itu gagal.

"Muhyiddin ni memang suka buat projek sebab nak mencari nama tapi semua projek itu gagal.

"Sebagai contoh, projek Bandar Universiti di Pagoh sejak dia jadi Menteri Pendidikan dalam kerajaan BN dan PH sehingga jadi PM di zaman Kerajaan PN, projek itu hanya ada papan tanda saja serta jadi bandar hantu," katanya.

Nur Jazlan turut menempelak cara penyelesaian hutang peneroka Felda yang dibuat oleh Muhyiddin yang didakwa bukan penyelesaian secara holistik yang telah dipertimbangkan oleh Kerajaan BN sejak 2013.

Dakwa beliau, Muhyiddin bukannya menghapuskan hutang berkenaan sebaliknya memindahkan semua hutang peneroka kembali menjadi bebanan Felda.

"Saya anggap penghapusan hutang peneroka itu bukan penyelesaian tapi pengalihan beban.

"Muhyiddin membuang bebanan itu daripada peneroka sebab nak jadi hero tapi dalam masa sama memberi bebanan baharu kepada Felda dan kerajaan kerana perlu menanggung semula hutang berbilion itu," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my