[VIDEO] Maszlee tetap setia kepada mandat rakyat, kekal dalam PH

Maszlee pada sidang media selepas Majlis Ceramah Umum di Renggam pada Khamis
Maszlee pada sidang media selepas Majlis Ceramah Umum di Renggam pada Khamis
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - [DIKEMASKINI] Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang menegaskan beliau tetap setia kepada mandat rakyat dengan kekal dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, rakyat telah memberi undi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), supaya kerajaan berubah menjadi negara yang bersih, bebas rasuah dan Malaysia yang baharu.

“Saya tidak mengkhianati undi yang kamu berikan kepada saya walaupun ketika itu saya bersama Bersatu di bawah PH.

“Anda memberi kami undi kepada PH dengan harapan untuk berubah menjadi kerajaan yang bersih, bebas rasuah dan Malaysia yang baru dan maju.

“Tetapi malangnya selepas 22 bulan tidak sampai 5 tahun mandat kami, undi anda dikhianati oleh bekas parti saya Bersatu yang meninggalkan PH dan kini telah bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Razak untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

"Undi yang anda berikan kepada saya, saya tidak mengkhianatinya. Saya masih bersama PH," katanya pada Majlis ceramah umum bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Renggam pada Khamis.

Dalam pada itu, Maszlee berkata sepanjang berkhidmat dalam pentadbiran PH, beliau telah berjaya membawa beberapa pembangunan besar di kawasannya.

Tambahnya, ia termasuk menubuhkan kolej komuniti, kampus Universiti Terbuka dan juga cawangan McDonald di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyatakan bahawa isu bekalan air di Simpang Renggam telah selesai atas perkhidmatannya.

Bagaimanapun, Maszlee memohon maaf kepada pengundi di kawasan itu kerana beliau tidak dapat menggubal beberapa inisiatif lain untuk kawasan pilihannya berikutan Gerakan Sheraton.

“Tindakan Sheraton menyaksikan kejatuhan pentadbiran PH akibat pembelotan daripada Bersatu dan beberapa ahli parlimen PKR,” ujarnya.

Pada PRN Johor kali ini, Maszlee bertanding menentang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim dari BN, K. Alagathiran dari PN dan Ahmad Shafiq Othaman dari Pejuang.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my