Pesalah hutan simpan kekal berdepan hukuman lebih berat

hutan simpan
hutan simpan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesalah hutan simpan kekal bakal berhadapan hukuman lebih berat apabila Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 diluluskan kelak.

Bacaan kali pertama pindaan itu dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.

Pindaan akta itu dibuat antara lain untuk menentukan persamaan undang-undang bagi negeri di Malaysia dalam merangka undang-undang berkaitan pentadbiran, pengurusan dan pemuliharaan hutan serta pembangunan perhutanan.

Antara kesalahan yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan adalah kesalahan memiliki hasil hutan secara tidak sah, menghasilkan pembakaran dan membuang sampah-sarap.

Menurut naskhah biru yang diedar di Parlimen, bagi penalti kesalahan di bawah Seksyen 84 (1) iaitu kesalahan memiliki hasil hutan secara haram, hukuman denda dinaikkan sehingga maksimum RM200,000 manakala hukuman penjara dinaikkan daripada maksimum lima tahun kepada 10 tahun.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 82, iaitu larangan ke atas pembakaran seperti menyalakan, menyimpan atau membawa apa-apa api, atau membiarkan apa-apa api menyala dengan apa-apa cara yang membahayakan hutan simpan, individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini, atau dipenjara maksimum tujuh tahun berbanding lima tahun sebelum ini atau kedua-duanya sekali.

Pindaan itu turut melibatkan Seksyen 83 iaitu pembuangan sampah sarap di dalam hutan simpan kekal iaitu pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 iaitu sekali ganda berbanding denda sebelum ini (RM10,000) atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan kali ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: